EkonomiNasional

Harga kawalan atau harga terkawal?

Perlukah skim harga maksimum musim perayaan diteruskan?

PENGUMUMAN Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat setiap kali perayaan utama menjelang. Baik Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali mahupun perayaan Krismas.

Ini kerana skim tersebut akan menyenaraikan barangan yang dikawal, harga maksimum yang diwartakan dan jangkamasa pelaksanaan yang dianggap melegakan kerana pengguna tidak perlu bimbang harga akan naik ketika mereka sedang seronok meraikan perayaan yang disambut,

Dalam hal ini pengguna sudah tentu gembira namun perasaan yang sama mungkin tidak dikongsi oleh peniaga.

Pada masa sama, ada pemimpin politik mengambil kesempatan untuk memanipuliasi penggumuman tersebut bagi mencari pengaruh.

Mereka hanya melihat dari sudut bilangan barangan yang dikawal dan berapa hari pelaksanaannya. Ia kemudiannya dijadikan isu seolah-olah bilangan barang, harga kawalan dan hari pelaksanaan menjadi kayu ukur yang sudah tentu mengelirukan pengguna.

Sebenarnya bilangan barangan dan harga semasa kawalan tidak penting. Apa yang lebih utama adalah kesannya kepada pengguna terutama selepas pelaksanaan skim tersebut.

Ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sebelum pengumuman dibuat supaya harga kawalan semasa SHMMP berpihak kepada mereka.

Malah terdapat peniaga yang menyimpan stok dan menjualnya lepas SHMMP dengan harga yang tinggi kerana hendak menampung kerugian yang dialami sebelum ini.

Mengikut data sejak 2010, bilangan tertinggi barangan yang disenaraikan dalam sesuatu SHMMP adalah 32 iaitu semasa perayaan Hari Raya Puasa 2021. Manakala jangkamasa paling lama pelaksanaan SHMMP adalah 30 hari iaitu semasa Hari Raya Puasa 2019 dan 2021.

Kajian bebas yang dijalankan dalam tahun 2021 yang melibatkan 1,074 responden yang terdiri daripada pengguna dan peniaga daripada pelbagai demografi, mendapati bahawa jika SHMMP hendak diteruskan, ianya mestilah diubahsuai.

Mereka menyatakan bilangan barang yang disenaraikan perlu dikecilkan dengan memberi fokus terhadap barang yang betul-betul perlu dan signifikan bagi perayaan tersebut dan jangkamasa perlu dipendekkan.

Kajian itu mendapati apa yang diperlukan oleh pengguna dan peniaga adalah Harga Terkawal dan bukannya Harga Kawalan.

Harga Kawalan ialah penetapan pada harga tertentu di mana semua peniaga harus mematuhi pewartaan harga tersebut. Ini menyebabkan persaingan hilang sedangkan persaingan amat diperlukan untuk merancakkan pasaran dan ekonomi serta menguntungkan pengguna terutama pada waktu penawaran dan bekalan stabil.

Pengguna tidak sedar, ada premis yang selama ini menjual sesuatu barang di bawah harga maksimum akan menaikkan harga mereka ke tahap maksimum. Harga maksimum adalah harga yang telah diwartakan dan sah dari segi undang-undang. Ini merupakan keuntungan mudah bagi mereka!

Jika semua peniaga menaikkan atau menurunkan harga ke tahap harga kawalan maksimum, pada ketika itu, pengguna sudah tidak ada pilihan. Seolah-olah terjadi kartel harga ketika skim kawalan harga dikuatkuasakan.

Harga Terkawal pula ialah harga sesuatu barang dalam julat yang terkawal dan seimbang mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga.

Setiap rantaian bekalan dari pengeluar hingga peruncit mempunyai margin munasabah tidak mencekik darah dan hikmahnya, pengguna mendapat pelbagai pilihan harga mengikut citarasa dan kemampuan mereka.

Inilah pasaran bebas yang sihat di mana pelasaran harga mengikut pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan.

Pengguna yang bijak akan membuat penyesuaian jika penawaran bekalan kurang dengan beralih kepada produk alternatif yang dengan sendirinya akan memberi kesan terhadap permintaan sesuatu barang tersebut.

Kerajaan akan campurtangan dan mengambil tindakan jika sesuatu sitiuasi luar biasa amat menekan dan tidak terkawal seperti kekurangan barangan utama dan alternatif yang berpanjangan, atau berlaku pencatutan, peniaga menyorok barang atau berlaku kartel harga.

Penguatkuasaan boleh dilaksanakan melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP), Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Sudah tiba masanya pengguna sebagai ahli Keluarga Malaysia bertindak secara bijak dan berani demi negara.

Pasca pandemik ini boleh dijadikan papan luncur oleh pengguna untuk menggerakkan pasaran yang sihat dalam menstabilkan bekalan dan harga barang negara.-SM

 

(Visited 517 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button