Pencemaran udara, bunyi jejas kehidupan 2,000 penduduk
Kira-kira 2,000 penduduk di Ozana Residen, Bukit Katil dekat sini terpaksa menanggung bau busuk akibat pelepasan asap kotor oleh industri terus ke udara dan pencemaran bunyi sejak lebih setahun lalu.
Bau busuk yang dilepaskan melalui cerobong asap dipercayai gas amonia dan pencemaran bunyi terpaksa dilalui penduduk sepanjang hari kerana kediaman mereka dibina berdekatan dengan tiga buah kilang pembuatan yang beroperasi 24 jam.
Seorang penduduk Mohamad Mustafa Raja Mohamad, 45, berkata, bau busuk itu dipercayai akibat pelepasan asap daripada kilang berhampiran khususnya sewaktu hujan.
Dia yang juga seorang peguam berkata, sejak membeli rumah tersebut tiga tahun lalu, dia serta keluarganya tidak dapat duduk di luar kerana bau yang dihidu sangat busuk dan membahayakan kesihatan.
“Bukan setakat bau busuk, pencemaran bunyi khususnya pada waktu pagi menyebabkan pintu jeriji, tingkap, pintu bilik tidur bergegar kuat. Kalau jangka panjang gegaran itu boleh menyebabkan strukur binaan rumah retak,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali melakukan lawatan mengejut di Ozana Residen selepas menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah yang mereka hadapi.
Seorang lagi penduduk, David Teh, 59, berkata, pelepasan asap daripada kilang berdekatan telah mencetuskan bau kurang menyenangkan dan busuk serta dibimbangi untuk tempoh yang panjang boleh penduduk boleh dijangkiti pelbagai penyakit.
“Saya sudah duduk di rumah ini setahun lebih dan bau ini sangat tidak selesa. Setiap kali balik kerja saya terpaksa duduk di dalam rumah. Ada ruang di halaman rumah pun saya tidak boleh gunakan,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, aduan telah dibuat kepada pemaju namun tidak ada sebarang usaha dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.
Sementara itu bagi S. Davindran, 37, pula berkata, bau busuk itu menyebabkan anaknya berusia lima tahun tidak keluar bermain di hadapan rumah.
Katanya, dia kecewa membeli rumah yang mahal namun tidak dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.
“Bila cuti hujung minggu kalau saya dan keluarga tidak pergi ke mana kami terpaksa duduk berkurung dalam rumah kerana setiap hari saya dapat hidu bau busuk yang sangat kuat,” ujarnya. – SM