MahkamahNasional

Penahanan suspek 1MDB, SRC International akan pengaruhi perbicaraan Najib

PENAHANAN suspek yang disyaki terlibat dalam kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd “berkemungkinan” mempengaruhi perbicaraan Najib Razak yang sedang berjalan, dakwa Shafee Abdullah.

Peguam bekas perdana menteri itu mendakwa suspek yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu mempunyai “peranan utama” dalam skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Shafee enggan mengulas lanjut kerana perbicaraan sedang berjalan, menurut New Straits Times. “Kita akan lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

Suspek yang tidak dikenali dalam kes 1MDB dan SRC itu menghilangkan diri sejak 2018. Setibanya di klia2, lelaki itu diserahkan Notis Perintah untuk hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya Khamis lalu.

Pegawai SPRM kemudian merakamkan keterangannya dan rumahnya digeledah pada hari sama. Dia kemudian ditangkap.

Satu sumber berkata, siasatan SPRM mendapati suspek dipercayai menerima wang yang diselewengkan daripada dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank sebuah syarikat dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

Sebelum ini, SPRM, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura, menyita akaun bank Wright Shaw Limited yang mempunyai kira-kira USD5.2 juta (RM23.1 juta).

Pada 23 Ogos tahun lalu, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes rasuah SRC International.

Dalam keputusan majoriti 4-1, mahkamah tertinggi menolak permohonan semakan semula Najib, bermakna beliau akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada akhir perbicaraannya pada Julai 2020.

Beliau juga boleh didenda RM210 juta atau penjara tambahan lima tahun jika ingkar.

Najib juga menghadapi 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau juga didakwa bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah atas enam pertuduhan menyeleweng RM6.64 bilion dana awam untuk membuat pembayaran kepada International Petroleum Investment Co.

najib

Selain itu, beliau didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta turut melibatkan dana SRC International. Perbicaraan di Mahkamah Tinggi masih belum bermula.

Najib dan bekas presiden dan CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy dibebaskan tanpa pembelaan mereka dipanggil pada 3 Mac kerana didakwa meminda laporan audit 1MDB.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. – FMT – SM

BACA Nama Jho Low kembali muncul pada perbicaraan rasuah Najib membabitkan dana 1MDB

BACA PAUTAN Keputusan kes 1MDB Najib, Arul Kanda ditangguhkan kepada 3 Mac

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button