fbpx
Nasional

Pemulihan Akhir COVID-19: Raja Muda Perlis pinta seluruh rakyat terus berdoa

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta seluruh rakyat agar terus berdoa dalam menghadapi fasa pemulihan terakhir Covid-19.

Baginda bertitah, setiap Muslim sentiasa menginsafi kekurangan diri yang tidak mungkin boleh mengatasi segala cabaran alam dengan sekadar usaha semata-mata, sebaliknya hendaklah turut sentiasa bertawakal dan berdoa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat meluangkan masa melawat “Shah Stable” yang dikendalikan secara kerjasama oleh Jawatankuasa Masjid Al-Huda Felda Chuping dengan seorang usahawan anak Felda Chuping sendiri, Shahidi Shahidan serta mendapat sokongan padu daripada pihak Pejabat Pengurusan Felda Wilayah Utara dan juga Felda Chuping.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Wan Fazli Wan Kamis.


Baginda turut menzahirkan kesyukuran susulan kejayaan Malaysia berhasil mengurangkan penularan kes baru Covid-19 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.

Tambah Tuanku Raja Muda, negeri Perlis kekal sebagai negeri Zon Hijau yang paling kurang tidak melebihi 20 kes di mana kes positif terakhir yang dimasukkan ke wad dicatatkan adalah pada 7 April 2020 lalu.

“Alhamdulillah, berkat keringat para pejuang barisan hadapan, dan kejituan kerjasama seluruh rakyat telah menjadikan Perlis masih kekal tidak mencatatkan sebarang penambahan kes baharu selama tempoh 55 hari,” titah baginda.

Terdahulu daripada itu, Wan Fazli berkata sebanyak 404 tong sampah berpusat sudahpun ditempatkan di seluruh negeri Perlis. Pihak MPK beserta agensi-agensi yang berkaitan memerlukan kerjasama penyaluran maklumat di segenap peringkat untuk menjayakan pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan seperti ‘Hari Sabtu Tanpa Beg Plastik’, ‘Jangan Guna Polisterin dan Straw Plastik’ dan sebagainya agar alam sekitar negeri ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sejahtera.

Untuk rekod, Masjid Al-Huda Felda Chuping telah berjaya merangkul Naib Johan Masjid Terbaik Felda Wilayah selain Imamnya, Ustaz Mohd Fitri Mohamad telah dinobatkan sebagai Tokoh Imam Felda 2019.

Pelbagai aktiviti pengimarahan telah berjaya dilaksanakan oleh pihak masjid untuk menarik minat para pengunjung antaranya melalui penganjuran ‘Program Jom Cuci Masjid’ anjuran bersama Media Prima Berhad, JAWHAR Intellectual Discourse (JID) Siri 1/2020 dan terkini menganjurkan program sukan berkuda di
Shah Stable. Mereka juga secara bersama sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan aktiviti riadah sukan memanah, memancing ikan dan juga woodball di sekitar kawasan yang sama. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button