UMNO mampu bantu tingkat potensi negara – Zahid Hamidi
NEGARA kita kini mengalami banyak kejatuhan selepas negara mengalami kemerosotan ekonomi, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Jelasnya, generasi muda juga tidak mampu mengembangkan potensi penuh mereka akibat negara tetangga dan seluruh dunia sudah jauh meninggalkan kita.
“…kesengsaraan hidup rakyat jelata, menyempitnya ruang buat generasi muda untuk mengembangkan potensi mereka, penjarahan dan penjualan khazanah negara, institusi perundangan menjadi alat penguasa, kerukunan hidup berbilang bangsa diselubungi syak wasangka, pendidikan anak bangsa hilang pedomannya, negara tetangga dan seluruh dunia” katanya membuktikan negara mengalami penurunan dari segi potensinya.
Kejatuhan yang disebut beliau menjadi tanggungjawab pihak mereka, para pemimpin UMNO, dalam mendirikan semula keruntuhan yang berlaku.
“Dengan sebab itu dalam kita hendak mendirikan semula keruntuhan yang berlaku dan memberikan nafas baharu kepada citra negara, kecekalan, kesungguhan, kemampuan dan keyakinan perlu ada pada setiap daripada kita dan juga rakyat yang mengharapkan pembelaan” katanya.
Oleh itu, beliau meminta kekuatan dari seluruh warga UMNO untuk mempertahankan perjuangan mereka dalam membela nasib negara. -SM