Nasionalpilihan

Nor Amiza rasa anaknya masih hidup, tidak jatuh longkang

“Saya rasa anak saya masih hidup dan dia tidak jatuh lemas di dalam longkang,” itu luahan sedih Nor Amiza Che Kar, 28.

Dia adalah ibu kepada seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang hilang dipercayai lemas di sebuah longkang di Taman Goodwood, Bukit Baru berhadapan Hotel Hallmark, Melaka di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu anak bongsunya, Muhammad Danish Mohd Faizal tiba-tiba hilang ketika dia sedang berniaga di kawasan berkenaan.

Kata Nor Amiza, ketika dia sedang membungkus makanan kepada pelanggan terakhir yang singgah di gerainya apabila menoleh anaknya tidak ada yang ditemui hanya selipar yang dipakainya.

“Mohon sesiapa yang menjumpai anak saya berpakaian baju biru dan berseluar putih, sila bagi kerjasama dan pulangkan Danish,” ujarnya.

Kehilangan kanak-kanak itu berlaku sewaktu hujan lebat dan air longkang pula dipenuhi air sedalam kira-kira 1.3 meter di belakang gerai tempat Nor Amiza menjual nasi kerabu.

Ujarnya, dia dan suaminya, Mohd. Faizal Maarop, 38, terus mencari anak bongsunya di kawasan sekitar selama 20 minit namun tidak menemuinya.

Katanya, suaminya terus membuat laporan polis pada pukul 3.45 petang sehingga kira-kira pukul 5.50 petang anaknya belum ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.45 petang daripada bapa mangsa.

Menurutnya, seramai 10 anggota polis termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh datang membantu mencari kanak-kanak itu.

“Setakat pukul 5.50 petang ini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam keadaan hujan.

“Berdasarkan selipar mangsa ditemui ditepi longkang, kita syak mangsa mungkin terjatuh,” katanya.

Sementara itu menurut Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Mohd. Azman Mohd. Damin anggotanya telah
mencari kanak-kanak itu di kawasan longkang sejauh 150 meter tetapi tidak menemui mangsa.

Menurutnya, setelah berbincang dengan pihak polis SAR terpaksa ditangguhkan sehingga pagi esok.

Katanya, Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka di hadapan Hotel Kancil di Bukit Baru. – SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button