Luar Negara

New York buka semula aktiviti ekonomi secara bertahap

NEW York akan membuka semula aktiviti ekonomi secara multifasa, kata Gabenor Andrew Cuomo pada Ahad lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata strategi pertama adalah untuk membuka semula sektor pembinaan dan pembuatan, dan pada fasa kedua penilaian terhadap perniagaan lain akan dibuat berdasarkan kes, bergantung kepada kepentingannya.

Tempoh dua minggu akan dikhaskan antara setiap fasa untuk memantau kesan pembukaan semula dan memastikan kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 serta kes jangkitan tidak meningkat.

“Ingatan untuk semua anda langsung tidak dibenarkan melakukan apa jua aktiviti di semua wilayah yang boleh meningkatkan jumlah pengunjung ke wilayah itu,” kata gabenor.

Beliau tidak memberikan tarikh khas untuk pelaksanaan strategi itu, kemungkinan sebahagiannya akan bermula pada 15 Mei – tarikh akhir sekatan pergerakan di seluruh negara.

Wilayah yang kemungkinan besar dibuka lebih awal ialah New York.

New York City, Nassau County dan Westchester yang paling teruk terjejas, mungkin lebih rumit dan memerlukan koordinasi wilayah, katanya.

New York terus menyaksikan trend penurunan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan kematian harian juga menurun kepada 367 orang pada Sabtu.

Bandar raya itu melaporkan lebih 299,000 kes COVID-19 dengan lebih 22,000 orang lagi meninggal dunia, menurut data Johns Hopkins University.

Sementara itu Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte berkata negara itu akan melonggarkan sekatan pergerakan di seluruh negara pada 4 Mei, membolehkan beberapa perniagaan utama disambung semula selepas tujuh minggu tidak beroperasi, lapor agensi berita Anadolu.

Dalam satu sidang media pada Ahad, Conte mengumumkan permulaan “fasa dua” wabak COVID-19, yang setakat ini meragut lebih 26,600 nyawa dan menjangkiti lebih 106,000 orang.

Conte memberi amaran, melonggarkan sekatan pergerakan bukan bermakna peraturan penjarakan sosial ditamatkan, ia masih perlu dilaksanakan untuk mengelak lonjakan baharu lengkung penularan.

Pergerakan rakyat masih terhad hanya untuk urusan penting seperti  kesihatan, kecemasan dan bekerja.

“Jika anda sayangkan Itali, tolong jaga jarak sosial,” kata Conte.

Tambah beliau, taman awam akan dibuka semula dan yang ingin mengunjungi saudara-mara boleh melakukannya jika mereka tinggal dalam wilayah yang sama.

Conte menegaskan andai rakyat tidak mematuhi peraturan ditetapkan, ia boleh mencetuskan peningkatan lengkung penularan, mengundang risiko yang lebih bahaya dan sukar dikawal.

“Kematian akan meningkat dan ekonomi kita akan terjejas teruk dan sukar untuk kita pulihkan,” katanya.

Bermula 4 Mei, semua aktiviti di sektor pembuatan dan pembinaan dimulakan semula. Tetapi firma perlu memastikan semua protokol keselamatan yang baharu diperkenalkan dipenuhi sepenuhnya.

Majlis pengebumian juga dibenarkan, tetapi diadakan di tempat terbuka, kehadiran tidak melebihi 15 orang.

Conte berkata jika semua perancangan berjalan lancar, kedai runcit dapat dibuka kembali pada Mei, sementara restoran, kafe, coiffeurs dan kedai gunting rambut dibuka pada 1 Jun. Sekolah masih ditutup sehingga September. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button