Altantuya Shaariibuu ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan peledak di hutan belukar di Shah Alam, 13 tahun lalu. Kes itu menjadi tajuk utama berita antarabangsa dan menjadi senjata serangan gabungan pembangkang.
Kes berkenaan telah didengar di tiga mahkamah dan Mahkamah Persekutuan memuktamadkan keputusan mengembalikan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar pada 2015.
Walau bagaimanapun, keputusan mahkamah tertinggi gagal memadamkan syak wasangka mendakwa berlaku plot untuk menutup kes bagi melindungi bekas perdana menteri Najib Razak.
Ini kerana terdapat beberapa perkara yang dianggap tidak kena seperti:
- Motif pembunuhan itu tidak dapat dikemukakan.
- Bekas pegawai pengiring Najib, Musa Safri tidak dipanggil sebagai saksi.
- Pihak pendakwa tidak merayu keputusan mahkamah membebaskan rakan rapat Najib, Abdul Razak Baginda, yang didakwa bersubahat dengan pembunuhan Altantuya.
- Seorang anggota pengawal keselamatannya (Azilah) disabitkan dengan pembunuhan itu.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Najib menjawab isu-isu ini berikutan tuduhan Azilah dalam akuan berkanunnya (SD) yang mendakwa bekas perdana menteri telah mengarahkannya untuk membunuh warga Mongolia itu.
Pada hari Isnin, Malaysiakini melaporkan bahawa banduan menunggu hukuman mati itu mendakwa Najib, yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri dan Razak Baginda meyakinkannya bahawa Altantuya ialah seorang perisik asing dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Walaupun Najib berulangkali menyatakan beliau tidak pernah bertemu dengan si mati, Azilah mendakwa bahawa dia melihat bekas perdana menteri dan Razak Baginda bersama Altantuya di sebuah kondominium di London.
Mengenai kegagalan untuk mengemukakan motif, Najib memberitahu Malaysiakini bahawa persoalan ini perlu ditujukan kepada sembilan hakim di tiga mahkamah yang mendengar kes tersebut.
“Mengenai motif yang tidak dapat dijelaskan, anda perlu bertanya kepada hakim – yang kebanyakannya masih lagi berkhidmat hari ini di bawah kerajaan PH.
“Saya percaya terdapat sembilan hakim yang memberikan keputusan mereka dalam tiga mahkamah berbeza sehingga tahap tertinggi. Seorang hakim di mahkamah tinggi, tiga hakim di Mahkamah Rayuan dan lima hakim di Mahkamah Persekutuan.
“Bagaimanapun, saya ambil maklum bahawa pakaian dan barang berharga mangsa ditemui dalam milikan pegawai polis itu,” jelasnya.
AG tak merayu
Berhubung pendakwaan tidak merayu pembebasan Razak Baginda, Najib berkata bekas peguam negara era pentadbirannya, Abdul Gani Patail ialah orang terbaik untuk menjawab persoalan ini.
“Bagaimanapun, saya percaya Razak Baginda didakwa dan dibicarakan tetapi hakim mahkamah tinggi membebaskannya tanpa dipanggil membela diri.
“Saya hanya dapat membuat spekulasi bahawa ini bermakna kes terhadapnya lemah dan itulah sebabnya AG pada masa itu tidak merayu keputusan tersebut,” kata Najib.
Selanjutnya, Najib memaklumkan Pejabat Peguam Negara pada waktu itu juga mempertahankan terhadap sabitan Azilah dan Sirul di mahkamah tinggi.
“Merayu kes Razak Baginda mungkin bermakna terdapat dua kes mahkamah yang berasingan yang dijalankan serentak untuk pembunuhan Altantuya,” katanya lagi.
Di bawah ini kenyataan penuh Najib:
1. Mengenai motif yang tidak dapat dijelaskan, anda perlu bertanya kepada hakim – yang kebanyakannya masih lagi berkhidmat hari ini di bawah kerajaan PH. Saya percaya terdapat sembilan hakim yang memberikan keputusan mereka dalam tiga mahkamah berbeza sehingga tahap tertinggi. Seorang hakim di mahkamah tinggi, tiga hakim di Mahkamah Rayuan dan lima hakim di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, saya ambil maklum bahawa pakaian dan barang berharga mangsa ditemui dalam milikan pegawai polis.
2. Begitu juga, peguam negara pada masa itu adalah orang terbaik yang bertanya mengapa pembebasan Razak Baginda tidak dirayu.
Bagaimanapun, saya percaya Razak Baginda didakwa dan dibicarakan tetapi hakim mahkamah tinggi membebaskannya tanpa dipanggil membela diri.
Saya hanya dapat membuat spekulasi bahawa ini bermakna kes terhadapnya lemah dan itulah sebabnya AG pada masa itu tidak merayu keputusan tersebut.
Selain itu, AGC pada masa itu juga mempertahankan terhadap rayuan oleh kedua-dua pegawai polis yang didapati bersalah di mahkamah tinggi.
Merayu kes Razak Baginda mungkin bermakna terdapat dua kes mahkamah yang berasingan yang dijalankan serentak untuk pembunuhan Altantuya.
3. Cara kerja sistem pengawal UTK adalah bahawa Yang diPertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkongsi sekumpulan pengawal peribadi. Tiada satu pun daripada anggota UTK tersebut yang eksklusif untuk mana-mana orang.
Inilah sebabnya mengapa kedua-dua anggota polis itu ditangkap semasa mereka sedang mengiringi Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) di United Kingsom.
Terdapat banyak maklumat yang salah mengenai kes ini sejak 13 tahun lalu yang mana ramai rakyat Malaysia masih salah percaya. Antaranya termasuk:
4. Gambar yang dikatakan saya dengan mangsa dalam edaran sebenarnya adalah palsu yang telah diakui dibuat oleh Tian Chua.
Sebagaimana yang telah saya pertahankan berkali-kali, saya tidak pernah bertemu dengannya. Dan itulah kebenaran yang telah saya bersumpah di masjid bertahun-tahun yang lalu.
5. Walaupun Musa Safri tidak dipanggil sebagai saksi di mahkamah tinggi, dia sebenarnya ditawarkan sebagai saksi pembelaan untuk kedua-dua anggota polis di Mahkamah Rayuan. Peguam pembelaan ialah orang yang memutuskan untuk tidak memanggil Musa Safri sebagai saksi.
6. Bahan peledak yang digunakan bukan C4 atau bahan letupan tentera. Ia tidak pernah berlaku. Ini dijelaskan di mahkamah bahawa forensik polis mendapati bahan letupan yang digunakan adalah RDX dan PETN yang biasa digunakan dalam aktiviti kuari atau pembinaan.
7. Rekod imigresen Altantuya tidak pernah dipadam dan masih utuh. Ini juga disahkan di mahkamah.
Adalah pelik untuk memadamkan rekod imigresennya bagi menyembunyikan kehadirannya di Malaysia dan kerajaan kemudiannya mengumumkan pembunuhan tragisnya di Malaysia.
8. Perjanjian kapal selam Scorpene sebenarnya telah dirumuskan oleh PM keempat. Ia juga telah diluluskan dan ditandatangani beliau pada masa itu. Ia bukan projek saya.
Walaupun beratus-ratus hari kes itu diadili di mahkamah dan di tiga peringkat mahkamah yang berbeza, masih ramai lagi yang ingin mempercayai apa yang mereka mahu percaya walaupun terpampang bukti di hadapan mereka.
Walau bagaimanapun, orang perlu bertanya kepada diri sendiri jika saya benar-benar kejam dan berkuasa sebagai timbalan perdana menteri kemudian memerintahkan pembunuhan seorang gadis yang berada di sini untuk memeras wang AS$500,000 daripada Razak Baginda, maka mengapa semua saingan politik saya selamat dan tenteram ketika saya mempunyai lebih banyak kuasa sebagai PM selama sembilan tahun yang lalu?
Memandangkan PH mendakwa bahawa saya kononnya berkuasa dan mengawal peguam negara dan juga mahkamah, maka rakyat perlu bertanya kepada diri mereka sendiri, jika saya benar-benar terlibat dalam konspirasi ini dan mengarahkan pembunuhannya, mengapa kerajaan telah mengenakan pertuduhan terhadap dua anggota polis di mahkamah tinggi dan kemudian membuat rayuan semula di Mahkamah Persekutuan selepas kedua anggota polis itu dibebaskan.
Ketika itu, kerajaan boleh saja menggugurkan pertuduhan atau menarik balik rayuan – seperti cara kerajaan PH menggugurkan tuduhan rasuah terhadap perbicaraan Guan Eng atau menarik balik rayuan dalam perbicaraan kes Rafizi.
Mereka juga perlu bertanya kepada diri mereka sendiri adakah munasabah anggota polis cuma dibayar ‘duit raya RM300’ untuk membunuh dan meletupkan seseorang?
Bayaran BR1M, malah jauh lebih banyak dari itu.
Dan saya pasti ada orang-orang yang masih percaya bahawa seorang yang didakwa perisik Rusia akan pergi ke balai polis untuk membuat laporan yang menyatakan bahawa hidupnya mungkin dalam bahaya.
Bagaimanapun, semua ini ada dinyatakan dalam akuan berkanun (SD) tersebut.
Rakyat juga perlu tahu bahawa SD ini dibuat 19 bulan selepas PH mengambil alih kerajaan dan telah diserah sebagai sebahagian daripada percubaan anggota polis tersebut untuk memohon mahkamah menyemak semula keputusan hukuman matinya, yang saya percaya telah dijadualkan dan akan dijalankan tidak lama lagi.
SD itu tidak dibuat untuk mengakui jenayahnya. – Malaysiakini