Rencah Hidup

Jujur, jangan tipu pelanggan prinsip Pak Zain Patin

PUTRAJAYA – “Memasak ikan patin kena jujur. Jangan menipu pelanggan. Memanglah ikan patin mahal tetapi masaklah ia dengan sebaiknya.” Itu prinsip yang dipegang oleh anak jati Pahang, Datuk Mohamed Zain Abdul Malik.

Berasal dari Kuantan, Pahang, Mohamed Zain, 71, merupakan pesara penjawat awam dan telah berkecimpung dalam industri perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman lebih 20 tahun lamanya.

Mohamed Zain ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA di Kelab Tasik Putrajaya berpendapat, tiada gunanya memasak ikan patin semahal patin buah liar andai kata bahan-bahan mentah yang digunakan tidak segar.

“Bahan mentah untuk memasak ikan patin perlulah segar. Jenis cili merah dan tempoyak adalah dua ramuan penting dalam menyajikan masakan ikan patin.

“Jika bahan-bahan mentahnya tidak segar, pasti rasa makanan itu tidak memuaskan,” kata Mohamed Zain yang berpengetahuan luas tentang jenis-jenis ikan darat yang terdapat di Sungai Pahang.

Hadir sama ketika sesi temuramah Mohamed Zain, Pengurus Besar Kelab Tasik Putrajaya, Azizan Baharom.

Mengakui amat meminati bidang masakan, Mohamed Zain mempelajari sendiri cara memasak ikan patin dan memulakan perniagaan bermodalkan kira-kira RM100,000.

Bagi Mohamed Zain, semua orang boleh masak ikan patin tetapi hidangan patin tempoyak yang disajikannya, berbeza dengan pengusaha-pengusaha masakan patin yang lain.

“Formula ikan patin tempoyak saya ialah kuahnya. Kuah berwarna merah kerana saya menggunakan cili merah yang segar.

“Selain daripada penggunaan cili merah yang segar, tempoyak penting kerana kalau tempoyak itu tidak segar, rasanya tidak memuaskan hati.

“Bagi menjaga kualiti masakan, saya menempah bekalan ikan patin dan tempoyak dari Negeri Pahang dan pastinya vendor yang membekalkan ikan patin mengenali dan mengetahui apa yang saya mahukan daripada pembekal,” katanya yang sanggup berkunjung ke Pekan Sari di Temerloh untuk membeli ikan-ikan segar daripada penduduk kampung sekiranya stok ikan yang dipesan tidak mencukupi.

Mengimbau kembali detik bermulanya langkah Mohamed Zain dalam dunia masak-memasak, Rumah Rehat yang terletak di Kuantan, Pahang merupakan perniagaan pertama yang diusahakannya.

Disebabkan oleh minat yang mendalam terhadap masakan tradisional, perniagaan yang diusahakannya dikenali sebagai Pak Zain Patin.

Selain daripada menu ikan patin, sajian-sajian lain seperti ayam kampung turut menjadi menu yang disajikan kepada pelanggan.

Air tangan Mohamed Zain tidak dapat disangkal lagi apabila populariti Pak Zain Patin bukan berlegar dalam kalangan penduduk Pahang sahaja.

Sebaliknya ia juga tersebar sehingga ke pengetahuan kerabat diRaja, kalangan menteri, orang kenamaan dan ahli-ahli politik.

Perniagaannya yang dikenali sebagai Pak Zain Patin begitu popular dalam kalangan penduduk di negeri Pahang termasuk kerabat Diraja dan juga kalangan menteri serta ahli politik.

Mohamed Zain tidak mahu populariti masakannya hanya berhenti setakat negeri Pahang sebaliknya beliau mahu masakannya itu dikenali oleh pasaran luar.

Tanpa mengenal erti putus asa, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mengembangkan cawangan restoran makanan kampungnya itu ke Lembah Klang.

Hari ini, Pak Zain Patin beroperasi di empat premis iaitu di D’Patin Garden, Bukit Dugang, di Dengkil, Selangor dan D’Patin MZ Café yang terletak di Kompleks Futsal, Presint 18, Putrajaya.

Dua lagi cawangan ialah  D’Patin yang terletak berhampiran dengan Istana Kehakiman, Putrajaya dan Restoran Samudera di Kelab Tasik Putrajaya.

Ikan patin yang menjadi kebiasaan untuk hidangan pelanggan ialah ikan patin sangkar, patin buah dalam sangkar dan patin buah liar serta ikan karai yang dijual pada harga berbeza-beza iaitu serendah RM90 sekilogram.

Set hidangan biasa ikan patin di Restoran Samudera, Kelab Tasik Putrajaya ialah RM30  termasuk nasi putih, lauk ikan patin, telur dadar, ulam dan minuman kordial.

Jika pelanggan berhasrat untuk menempah hidangan ikan patin istimewa iaitu patin buah sangkar, patin buah liar dan ikan karai, tempahan perlu dibuat lebih awal.

Selain sajian makan tengahari, Restoran Samudera turut juga menghidangkan hidangan Barat (western) dan Cina (chinese) bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan dan keterangan lanjut mengenai hidangan di Kelab Tasik Putrajaya, boleh hubungi talian 03-8889 5008 atau layari www.kelabtasikputrajaya.com. – SM

(Visited 668 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button