Nasional

Rebusan air daun semambu tidak dapat pulihkan simptom COVID-19

REBUSAN air daun semambu tidak boleh membantu memulihkan simptom Covid-19.

Oleh itu pihak Public Health Malaysia Malaysia menafikan dakwaan bahawa dengan meminum rebusan daun semambu boleh memulihkan keadaan mereka yang mempunyai simptom COVID-19 seperti demam, sakit tekak dan sesak nafas.

Penafian itu dibuat oleh Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam kenyataan Pemakluman Berita Palsu yang dikeluarkan hari ini.

Carian Suara Merdeka menerusi blog Kimia dan Tumbuhan Berubat www.drcheputeh.com menjelaskan mengenai khasiat pokok semambu atau dikenali sebagai neem dalam bahasa Inggeris.

Menurut blog berkenaan melalui penerangan Siri 78, menyatakan daun semambu telah terbukti secara saintifik membunuh dan menghalau serangga perosak. Pokok semambu dikenali secara saintifik sebagai Azadirachta indica A Juss dari keluarga Maliaceae.

Biji dan daun semambu, mempunyai satu jenis sebatian kimia hasilan semulajadi azadirachtin dan isomernya, sejenis limonoid yang terbukti berkesan membunuh dan menghalau serangga perosak. Azadirachtin banyak didapati di dalam biji buahnya, namun ia juga boleh didapati daripada bahagian lain.

Kandungan azadirachtin di dalam biji buahnya adalah antara 0.08% sehingga 1.6%.

Komposisi sebatian kimia azadirachtin bergantung kepada beberapa faktor antaranya kelembapan, jenis tanah, jumlah air hujan, keasidan tanah, nutrisi di dalam tanah dan variasi genetik.

Azadirachtin dikenalpasti membunuh dan menghalau serangga perosak dengan menjadi penghalau bertoksik, menyebabkan kemandulan, menghalang tumbesaran dan menghalang serangga dari makan tumbuhan.

Ekstrak biji dan daun pokok semambu ini boleh menjadi alternatif kepada racun perosak untuk kebun tanaman organik dan juga kawasan yang kurang akses kepada racun serangga perosak yang lebih berkesan.

PEMAKLUMAN BERITA PALSU 26 MAC 2020 3.00 ptg.pdf.pdf

Tetapi untuk mengatakan dia berkesan merawat jangkitan COVID, ia memerlukan pembuktian secara klinikal ke atas manusia.

Ini kerana sebatian kimia aktif yang ada dalam neem perlu dirumus dengan kaedah yang tepat supaya sampai kepada sasaran dalam badan. Kalau tidak ia akan termusnah dicerna oleh asid di dalam jus gastrik di dalam perut.

Sehingga kini tiada kajian secara klinikal mahupun secara tabung uji menunjukkan ekstrak daun mambu merencat pertumbuhan coronavirus yang lain apatah lagi novel coronavirus sekarang iaitu COVID-19, jelas blog berkenaan.

Neem digunakan secara tradisi dalam perubatan Ayurveda bagi meningkatkan sistem ketahanan badan.

Kajian ke atas tikus dan tabung uji menunjukkan ekstrak neem meningkat response sistem imun tetapi tidak spesifik kepada antigen (kuman) tetanus yang diberi.

Adakah ekstrak neem meningkatkan sistem ketahanan badan manusia?

Jadi sejuah mana rebusan air daum semambu dapat melawan Covid-19 masih lagi mitos.

Ia masih memerlukan pembuktian melalui kajian klinikal kepada manusia. Dalam keadaan kita nak membendung pergerakan manusia, janganlah pula berpusu-pusu keluar cari daun semambu.
Virus perlukan hos untuk hidup. Kalau dia tak jumpa hos baru dia akan mati dan hilang.

Manusia adalah hos virus COVID-19. Dengan melakukan penjarakkan sosial, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Setakat ini lebih 80% jangkitan COVID-19 adalah ringan. Sehingga artikel ini ditulis, 199 pesakit sembuh walaupun tanpa mengambil sebarang petua ini. Adalah malang jika virus ini memasuki hos yang sistem ketahanannya lemah maka ia boleh menyebabkan kematian.

Jadi dalam kes 199 yang sembuh sehingga semalam mereka mampu melawan jangkitan COVID. Tetapi mereka perlu dikuarantin untuk memastikan jangkitan tidak bertambah teruk dan tidak menjangkitkan penyakit pada orang lain.

Malah selepas tiga kali swab menunjukkan mereka negatif, walaupun dibenarkan pulang rumah, mereka masih perlu dikuarantin lagi 14 hari.

Malah terdapat beberapa laporan kes keracunan disebabkan pengambilan daun semambu terutama di kalangan kanak-kanak. Walaupun tidak kerap didengar, kita tidak mengetahui status kesihatan orang lain. Maka dengarlah nasihat doktor anda.

Jangan pula lepas ini ingkar arahan pihak berkuasa untuk kuarantin dan duduk di rumah sebab anda minum air rebusan neem. Ini adalah sikap mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

Sila dengar nasihat pihak berkuasa dan duduk di rumah diam-diam.

Kita tak mahu jadi seperti Itali.

Dr. Che Puteh Osman, PhD (Natural Product Chemistry) – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button