Nasional

PM Anwar terima kunjungan rombongan guru pondok Kelantan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi telah menerima kunjungan rombongan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan.

Kunjungan yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri itu adalah atas jemputan peribadi Perdana Menteri.

“Jemputan ini saya sampaikan sendiri setelah mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.

“Pertemuan ini membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.

“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar Kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam.

“Saya amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.

“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.

Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan. Dalam ruang yang sama, saya turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan YAB Menteri Besar Kelantan.

“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.

“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” kata Perdana Menteri . – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button