Acara

Sumbangan lebih RM200,000 disampaikan sepanjang Eks PerBah 2025

KUDAT 11 Mac – Dalam usaha memperkasakan kemudahan awam dan memperbaiki kesejahteraan masyarakat, pelbagai syarikat korporat dan agensi tampil menghulurkan sumbangan bernilai lebih RM200,000 kepada institusi pendidikan dan hospital di Kudat, Kota Belud dan Kota Marudu, serta pos-pos operasi di pulau-pulau yang terletak di perairan Pantai Timur Sabah sempena Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (EKS PerBah) 2025.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Apresiasi Program Lawatan Kerja Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Sabah (Eks PerBah) yang diadakan di Six 55 Casa De Norde, Kudat Golf & Marina Resort.

Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda telah berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa sajian Kurna Daging Perlis dan Gulai Rebung Perlis yang disediakan khas oleh Pegawai Istiadat, Datuk Zull Aznam Haron. Promosi ini akan berjalan selama sebulan di restoran berkenaan.

Sumbangan-sumbangan yang diberikan berupa peralatan dan kemudahan asas bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di kawasan terlibat.

Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) telah menyumbang dua unit LCD projektor dan dua unit penyejuk udara kepada SMJK Lok Yuk, satu unit mesin hemodialisis kepada Hospital Kudat, serta 14 unit pengawal voltan automatik dan tujuh unit TV 42 inci untuk pos operasi di tujuh buah pulau. Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) pula menyumbang penyejuk air dan LCD projektor untuk SMK Bengkongan, satu unit katil bersalin elektrik untuk Hospital Kudat, serta unit bangku logam untuk pos operasi di empat buah pulau.

Mutiara Perlis Sdn. Bhd. turut menyumbang dua unit penghawa dingin dan satu unit LCD projektor kepada SMK Sikuati II, dua unit syringe pump untuk Hospital Kudat, serta 14 unit tangki air 200 gelen untuk pos operasi di tujuh buah pulau. Sabah Electricity juga telah menyediakan tujuh set pemasangan sistem solar bagi memenuhi keperluan pos operasi di tujuh buah pulau.

Yayasan Bank Rakyat menyumbang tirai penghadang bergerak dan TV LCD 55 inci kepada SMK Sikuati II, melakukan renovasi Unit Transfusi Tuanku Syed Putra di Hospital Kudat, serta menyumbang tujuh unit peti sejuk beku dan empat unit rak boleh lipat lima tingkat kepada pos operasi. Selain itu, mereka turut menyokong program pendidikan di 10 buah sekolah sebagai usaha meningkatkan kualiti pembelajaran.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbang wang tunai RM20,000 bagi Program Dakwah Sekolah dan Program Imarah Surau di beberapa institusi pendidikan dan masjid. Sumbangan lain merangkumi sistem pembesar suara, pemanas darah, kerusi derma darah, 55 hamper hospital, penyejuk air, serta sumbangan khas untuk surau dan kopiah MAIPs.

Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis juga telah menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada sembilan buah sekolah dengan jumlah keseluruhan RM9,900.

Dalam kategori sumbangan individu, Dato’ Indera Dr. Mohd Zaini Ariff telah menyumbang papan tanda LED dan penimbang bayi, sementara Azuan Tan Sri Ariffin menyumbang empat unit generator petrol 10kVA untuk dua buah pulau. Dr. Ghazali Chik turut menyumbang penimbang bayi kepada Hospital Kudat. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pula menyumbang 30 unit termos kepada Rumah Anak Yatim Nur Taqwa dan 200 helai baju sukan untuk pelajar di 10 sekolah serta rumah anak yatim.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyumbang monitor VS lima parameter, mesin ECG, dan defibrilator kepada Hospital Kudat. Majlis Perbandaran Kangar (MPK) turut menyumbang tujuh mesin rumput kepada tujuh pos tentera dan polis di pulau-pulau. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyumbang empat unit solar serta buku-buku untuk sekolah dan pos-pos terpilih. UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) turut menyumbang 14 unit kipas berdiri kepada pos-pos dan sekolah-sekolah yang terlibat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis menyumbang permaidani untuk surau di Pos Karakit, manakala Jabatan Mufti Negeri Perlis menyumbang buku-buku agama kepada pos-pos di pulau-pulau. Polis Diraja Malaysia Perlis turut memberikan barangan keperluan kepada pos-pos terpilih. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis menyumbang barangan dapur kepada Rumah Anak Yatim Nur Taqwa, sementara Penasihat Undang-Undang Perlis menyumbang barangan makanan kepada rumah tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan EKS PerBah 2025 pada kali ini.

Baginda berharap agar segala bantuan dan sumbangan yang disalurkan dapat memperkukuhkan kemudahan di sekolah, hospital, serta pos operasi di lokasi-lokasi yang dikunjungi.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen sektor korporat dan agensi dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat serta memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button