Nasional

Murung dan Tertekan: 648 guru di Melaka bersara awal

SERAMAI 648 daripada 13,976 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan adalah antara punca utama mereka membuat keputusan bersara awal kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurutnya, daripada jumlah yang disaring seramai 28 guru atau 4.32 peratus berada pada tahap kemurungan dan 23 atau 3.54 peratus guru pada tahap stres.

Beliau berkata, saringan tersebut dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan negeri itu adalah untuk mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri ini.

Beliau berkata, jumlah tersebut diperoleh berdasarkan saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

“JPN telah mengambil beberapa tindakan seperti kaunseling, melaksanakan Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A (sedar dan peka tindak) kepada semua warga guru terbabit.

“Turut dilaksanakan ialah Program Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi (3PI), antaranya Program Literasi Kewangan, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab), Program Pementoran, Program Mutiara (prestasi sederhana dan rendah) dan Intervensi Guru Positif Covid-19.

“Ia bertujuan untuk melahirkan guru yang seimbang daripada setiap aspek,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Muhamad Akmal (BN-Merlimau) mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput) yang kini berada di Mekah menunaikan ibadah haji. Beliau menjawab soalan tambahan Hameed Mytheen mengenai punca guru-guru di Melaka bersara awa.

Menjawab soalan Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) mengenai peruntukan menaik taraf dan pembaikan sekolah, beliau berkata, sekolah baharu akan dibina sekiranya sekolah sedia ada telah mencapai 36 bilik darjah fizikal bagi sekolah rendah dan 42 bilik darjah untuk sekolah menengah.

Setakat ini katanya, permohonan projek baharu yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan pusat tingkatan enam di Bachang, Serkam dan Ayer Limau.

Beliau berkata, Beberapa sekolah daif pula telah dinaiktaraf iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai serta menaik taraf bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok di Jasin. – SM MELAKA

Artikel berkaitan > Soalan ADUN Ayer Keroh buat Ab. Rauf ‘panas’

(Visited 406 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button