Nasional

Isu yuran Jonker Walk: Sidang DUN Melaka tegang

ISU ketirisan kutipan yuran dalam kalangan 500 peniaga di pusat tumpuan pelancong Jonker Walk berjumlah lebih RM30,000 sebulan dibangkitkan wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) menimbulkan ketegangan pada hari kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mempersoalkan bagaimana keuntungan tersebut adalah tidak setimpal dengan pembangunan dan keselamatan di kawasan pelancongan tersebut.

Beliau turut mempersoalkan apakah usaha dilakukan Jawatankuasa Jonker Street untuk mencegah kejadian kebakaran di pusat pelancongan itu sehingga mengorbankan nyawa penyewa di situ baru-baru ini setelah mengutip yuran yang tinggi setiap bulan.

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menjelaskan, beliau telah meneliti akaun pihak terlibat dan mendapati jumlah keuntungan diperoleh tidak seperti didakwa oleh wakil rakyat PH.

“Akaun yang saya teliti bukan bukan RM30,000, seperti didakwa tapi lebih kurang RM3,000. Dulu pun saya sangka macam itu juga. Ikhlas saya cakap pada YB (Yang Berhormat), elok kita jangan bersangka buruk terhadap mereka,” katanya sewaktu menjawab soalan tambahan Chee Leong.

Chee Leong yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Muhammad Jailani (BN-Rembia) mempersoalkan surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Jonker Walk kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang menyatakan perbelanjaan menguruskan kawasan berkenaan adalah RM13,500 sebulan.

“Jumlah yang dibayar sangat rendah berbanding hasil diperoleh jawatankuasa tersebut sebulan mencecah RM30,000,” ujarnya.

Muhammad Jailani berkata, akaun pengurusan yang telah diaudit perlu dijadikan rujukan dan bukan sekadar melihatnya secara tersurat semata-mata.

Katanya, ini kerana pembayaran kepada MBMB melibatkan jumlah tertentu, tetapi kos lain seperti pembersihan dan keselamatan juga perlu diambil kira.

Beliau menjelaskan, akaun tersebut diaudit dan ada deklarasi di bawah Akta Berkanun, tidak mungkin ada penipuan berlaku.

Chee Leong yang masih tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan enggan duduk hingga beliau ditegur Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum.

Ketika itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bangun mencelah bagi meredakan keadaan dan memberi jaminan akan mengarahkan MBMB memanggil kedua-dua pihak untuk berbincang serta meneliti akaun daripada Jawatankuasa Jonker Walk atas dakwaan yang dibangkitkan. – SM

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button