Politik

Soalan ADUN Ayer Keroh buat Ab. Rauf ‘panas’

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ‘panas’ seketika apabila Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) membangkitkan persoalan masalah dalaman kerajaan negeri soal ketidakpercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mungkin menjejaskan kedatangan pelabur asing ke negeri ini.

Chee Yee mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Bangkit menjawab soalan tersebut, Ab. Rauf (BN-Tanjong Bidara) menegaskan, kesemua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kekal sehaluan dengan kepemimpinan Sulaiman.

“Terima kasih Ayer Keroh (Chee Yee) kerana selalu membawa isu yang membuat kita tertanya-tanya, faktor dalaman mana perlu kita tambah baik.

“Kami sebahagian besar 21 ADUN kerajaan tidak pernah pun berada dalam keadaan tidak sehaluan dengan kepimpinan Sulaiman.

“Soal dalaman ini tidak timbul, yang sering diuar-uarkan dalam media sosial, secara langsung atau tidak langsung, yang cemburu atas kejayaan kami dapat menambat hati rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lalu.

“Maka soal isu dalaman yang berhormat Ayer Keroh bangkit tidak berasas,” katanya.

Ab. Rauf menegaskan, isu faktor dalaman yang dibangkitkan ADUN Ayer Keroh itu hanyalah dakwaan tidak berasas kerana berpunca daripada perasaan cemburu sesetengah pihak di atas kemenangan besar BN dalam PRN Melaka.

Beliau berkata, Melaka langsung tidak berdepan hilang kepercayaan pelabur sejak BN kembali memerintah selepas memenangi PRN Melaka, November tahun lalu.

Menurutnya, sejak BN memerintah sebanyak RM2.2 bilion pelaburan asing dibawa masuk ke negeri ini walaupun hanya dalam tempoh empat bulan pemerintahan kerajaan negeri.

Sebelum ini tular di media sosial terdapat dakwaan Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini.

Namun apa yang digembar-gemburkan oleh sebuah akhbar berbahasa dan dipetik sebuah portal tidak menjadi kenyataan sebaliknya Sidang DUN berjalan seperti biasa tiada sebarang kejutan berlaku. – SM MELAKA

(Visited 404 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button