NegeriRencah Hidup

Mulai April Perlis kenakan caj beg plastik 50 sen

PERLIS bakal menggenakan caj 50 sen bagi setiap helai beg plastik pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai April ini. Sebelum ini pembeli dikenakan caj 20 sen bagi setiap helai beg plastik.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, caj terbaharu ini bagi memperkasakan Program Hari Tanpa Beg Plastik Negeri Perlis yang dilancarkan pada 29 Februari lalu yang melibatkan lapan kategori premis.

Asrul Aimran Abd Jalil (kiri sekali) sambil disaksi Norazlan Yahaya (dua dari kiri) memberikan beg membeli-belah kepada pelanggan sempena Sesi Walkabout Program Hari Tanpa Beg Plastik Negeri Perlis Bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pasar Raya Giant, Kangar hari ini.

“Premis berkenaan termasuk pasar raya besar, pasar raya, gedung serba serbi, kedai mudah beli, restoran makanan segera, kedai mudah beli stesen minyak, kedai rantaian dan farmasi,” katanya pada sidang media selepas Sesi Walkabout Program Hari Tanpa Beg Plastik Negeri Perlis Bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pasar Raya Giant, Kangar hari ini.

Hadir sama Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Norazlan Yahaya.

Serentak dengan itu katanya, Undang-Undang Kecil Fi Plastik (Majlis Perbandaran Kangar) 2024 juga akan dikuatkuaskan mulai April ini.

“Kita juga mewajibkan 176 premis dari lapan kategori ini yang ada di Perlis supaya mendaftar untuk Program Hari Tanpa Beg Plastik,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 26 premis sudah mendaftar untuk program ini sejak pelancaran pada 29 Februari lalu.

Katanya, menerusi undang-undang ini, kesemua kutipan caj atau bayaran beg plastik yang dibuat oleh premis ini akan disalurkan terus ke Akaun Amanah.

Asrul Aimran Abd Jalil bersama Norazlan Yahaya bergambar kenangan sempena Sesi Walkabout Program Hari Tanpa Beg Plastik Negeri Perlis Bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pasar Raya Giant, Kangar hari ini.

“Akaun Amanah ini adalah di bawah seliaan MPK di mana setelah dikumpulkan ia akan digunakan untuk tujuan kempen berkaitan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Katanya, dengan undang-undang ini juga memberi kuasa kepada pegawai MPK melakukan pemeriksaan inventori beg plastik ke atas premis perniagaan terbabit.

Tambahnya, mana-mana premis yang melanggar undang-undang ini akan dikenakan tindakan. – SM

BACA ‘Kempen Tanpa Beg Plastik’ dilaksanakan di semua negeri – Tuan Ibrahim

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button