Alam SekitarNasional

‘Kempen Tanpa Beg Plastik’ dilaksanakan di semua negeri – Tuan Ibrahim

SEMUA kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan caj pencemaran ke atas beg plastik yang digunakan dengan nilai minimum 20 sen bagi setiap satu melalui “Kempen Tanpa Beg Plastik”, yang sebelum ini telah pun dijalankan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pada Selasa (17 Mei) berkata kementeriannya telah mendapat mandat daripada mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran itu.

Beliau berkata persetujuan untuk meneruskan pelaksanaan kempen itu telah dicapai dalam Mesyuarat Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bertanggungjawab Bagi Alam Sekitar (Mexcoe), yang dipengerusikannya pada Selasa.

Mesyuarat Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bertanggungjawab Bagi Alam Sekitar (Mexcoe), Foto: FB Kementerian Alam Sekitar dan Air

“Beberapa negeri lain merancang untuk mula melaksanakan kempen ini bersama-sama kutipan caj, bermula dengan fasa awal kesedaran pengguna.

“Inisiatif yang telah dilaksanakan sejak 2021 ini merupakan usaha berkesan dalam mengurangkan pencemaran plastik di Malaysia. Saya berharap inisiatif ini akan terus mendapat sokongan semua pihak demi kelestarian alam sekitar yang menjadi tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus memperkasakan program Rakan Alam Sekitar (RAS) dengan mewujudkan lima kluster utama di bawah RAS 2.0 bagi menggerakkan aktiviti pemuliharaan alam sekitar di seluruh negara dengan lebih fokus.

Menurutnya, penubuhan Kluster RAS Agensi, Kluster RAS Kampus, Kluster RAS Sekolah, Kluster RAS Industri dan Kluster RAS Komuniti bertujuan membentuk dan mengkategorikan anggota RAS, dan akan melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Pengakap dan Rukun Tetangga.

Tuan Ibrahim berkata mesyuarat itu juga bersetuju memperkukuh kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan aktiviti pembangunan dapat diseimbangkan dengan keperluan memelihara alam sekitar.

Mesyuarat itu juga memaklumkan sambutan Hari Alam Sekitar Kebangsaan tahun ini akan diadakan pada 21 Oktober ini di Pahang.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Mexcoe akan diperkukuh dengan penyusunan semula anggotanya, serta penambahan yang baharu terutama daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. – SM

(Visited 576 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button