Politik

Mohd. Ridhwan tidak serang peribadi lawan sewaktu berkempen

Berkempen secara santai tanpa menyerang peribadi lawan menjadi fokus utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut anak bekas Ketua Menteri Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, beliau menolak kaedah berkempen menyerang pihak lawan hingga mewujudkan politik kebencian yang mula menjadi amalan pada setiap pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, senario politik hari ini tidak sama seperti dahulu kerana pemikiran pengundi sudah berubah dan mereka tidak suka melihat jika seseorang calon itu mewujudkan politik kebencian.

“Politik kebencian ini sebenarnya boleh mengundang ramai pihak akan mengecam kita. Saya lebih suka berkempen secara santai dan harmoni tanpa menyerang peribadi tiga calon lain yang bertanding di Hang Tuah Jaya.

“Dalam kempen yang saya pergi lebih fokus membawa misi dan visi apa yang akan saya dilakukan jika diberi mandat oleh pengundi di Hang Tuah Jaya.

“Dalam kempen saya lebih suka memberi fokus soal kebajikan penduduk dan membangunkan taraf ekonomi mereka kerana tema BN kestabilan demi kemakmuran adalah fokus utama saya menarik pengundi di sini,” ujarnya di sini hari ini.

Pada PRU15 ini Mohd. Ridhwan berdepan dengan saingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd. Halim, Mohd. Azrudin Md. Idris (Perikatan Nasional) dan Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Gerakan Tanah Air).

Mengulas lanjut Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya itu berkata, selain memberi fokus memperkasakan ekonomi rakyat paling utama akan diberi tumpuan ialah menyelesaikan banyak isu berkaitan infrastruktur.

Menurutnya, banyak projek-projek infrastruktur tidak dapat dilaksanakan kerana kelewatan peruntukan daripada kerajaan pusat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jika saya diberi mandat oleh rakyat di Parlimen ini, saya berjanji akan menyelesaikan masalah infrastruktur dengan kadar segera,” ujarnya.

Selain itu katanya, masalah banjir kilat yang kerap berlaku terutama di Ayer Keroh, Bukit Katil dan beberapa kawasan lain juga menjadi visi dan misinya jika dipilih menjadi wakil rakyat di
sini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button