Mesej buat UMNO, Pas dan Bersatu
UMNO, Pas dan Bersatu perlu bersatu. Bersatu dan bersetuju dalam banyak hal terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
UMNO, Pas dan Bersatu apabila bersatu, maka majoriti orang Melayu dan penganut Islam bersatu.
Penyatuan umat majoriti negara ini penting demi memastikan kestabilan politik negara dicapai kembali.
Kestabilan ini penting demi pertumbuhan ekonomi negara dan keyakinan pelabur asing untuk menanam modal di negara kita.
Pada masa ini idea ini adalah tidak popular kerana ramai lebih memilih UMNO bekerjasama dengan Pas sahaja, manakala Bersatu diragui kesetiaannya kerana merupakan parti serpihan dan dianggotai sebahagian besar pemimpin UMNO yang melompat.
Perpaduan umat Melayu bukan bermakna meminggirkan kaum lain, tetapi ia menjadi asas kepada perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara.
Walaupun kepimpinan UMNO dan akar umbi parti itu merasakan dirugikan dengan kerjasama itu, tetapi berundinglah dengan baik dan cubalah bertoleransi semaksimum mungkin demi masa depan bangsa Melayu dan negara Malaysia.
Memang sukar untuk membayangkan persepakatan itu terutama ketika tiba waktu pembahagian kerusi pada pilihan raya, kerana hubungan tiga parti berkenaan mempunyai sejarah hitam masing-masing.
Tetapi itulah pemimpin. Sebab itu ketika ini pemimpin yang berpengalaman dan bijak sangat diperlukan. Bukan pemimpin yang kuat membatu api dan memecah-belahkan ahli dan parti.
Memang pedih dan sedih melihat para pemimpin UMNO khususnya diperlakukan sesuka hati atas pelbagai tuduhan di mahkamah sehingga sekelumit jasa dan bakti mereka tidak langsung dihargai.
Dan memang mudah untuk menasihatkan supaya mereka berkorban dan bersabar dalam situasi ini.
Tapi apa lagi pilihan yang ada. Berpecah bermakna ketiga-tiga parti menggali kubur masing-masing.
Bertanding masing-masing pada pilihan raya dan timbang semula kerjasama kemudiannya juga satu perjudian yang berisiko tinggi.
Usaha membuka lembaran baharu termasuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang dalamnnya terdapat DAP, Amanah dan PKR juga perlu diperhalusi. Di atas kertas memang mampu membentuk kerjasama dan pakatan yang kukuh.
Tetapi tiada juga jaminan ia mampu bertahan kerana setakat ini Pas dan Bersatu telah membuktikan mereka tidak mampu bertahan dengan ikatan perkahwinan berkenaan.
Dengan kekuasaan di tangan sahaja UMNO dapat diperkukuhkan kembali dan bangkit semula dengan lebih gagah.
Memang terbukit sejarah politik di negara ini, parti yang kalah akan menguncup dan layu. Contoh paling ketara pada masa ini adalah Gerakan yang cuba bangkit dengan berpaut kepada Pakatan Harapan kini terus tenggelam.
MIC dan MCA sendiri terpaksa menagih ihsan UMNO di dalam Barisan Nasional (BN) untuk kembali bernyawa. Situasi sama akan berterusan pada pilihan raya akan datang.
UMNO terpaksa mengorbankan kubu kuatnya dengan memberi kepada calon dua parti berkenaan bagi memastikan parti komponen itu tidak pupus. Setidak-tidaknya pun dengan melantik senator dalam kalangan dua parti itu.
Jika hilang kuasa dan melukut di tepi gantang sebagai pembangkang, bukan ahli akar umbi sahaja terumbang-ambing, bahkan pemimpin atasan juga akan terus dilambung ombak pelbagai pesona yang akhirnya mengaburkan mata dan pemikiran.
Ramai yang lega apabila Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) berjaya dibentuk, walaupun idea itu sebenarnya telah dibentangkan sejak Mac lagi ketika PN mengambil alih kerajaan.
Semoga ini menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih harmoni dan akhirnya mendamaikan negara ini.
Apabila kejayaan dicapai kelak, ramai akan lebih sepakat dan akrab kerana semua orang mahu berada di dalam kelompok orang yang berjaya dan menang.