fbpx
Politik

Melayu semakin bertaut bentuk kerajaan tanpa DAP

BIDUK berlalu kiambang bertaut. Carik-carik bulu ayam. Dan akhirnya Melayu kembali bersatu di bawah satu bumbung iaitu Muafakat Nasional (MN).

Walaupun pelbagai gagasan dibentuk istiqomahnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akhirnya parti-parti Melayu kini sudah mampu duduk di dalam satu saf, walaupun memerlukan pensejajaran di sana sini.

Jika sebelum ini ramai yang bimbang terlalu banyak parti berasaskan Melayu akan menyebabkan perpecahan, tetapi kebijaksanaan dua pemimpin ini berjaya merangkul kembali sebahagian besar parti Melayu dan dijangka lebih banyak akan menyertai MN menjelang pilihan raya umum kelak.

Apabila Melayu bersatu negara tiba-tiba sahaja menjadi tenterama dan stabil. Ini bukan retorik tetapi itulah hakikat kerana kaum berkenaan merupakan penduduk majoriti negara ini.

Golongan minoriti mungkin seronok seketika sahaja ketika Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan, tetapi mereka mulai resah kerana tiba-tiba negara menjadi sangat rapuh dan tidak berdaya saing dalam semua segi.


Bijak pandai, profesional dan sebagainya di dalam kerajaan PH tidak mampu untuk menyatukan rakyat Malaysia, kerana mereka bukan ahli politik dan pandangan mereka sering mengguris perasaan orang Melayu dan bumiputera keseluruhan hanya kerana mahu berpegang pada prinsip universal iaitu keadilan sejagat.

Ternyata prinsip tersebut hanya menyebabkan negara tidak stabil kerana ia diguna pakai tanpa disesuaikan dengan situasi setempat dan geopolitik negara serta adat resam masyarakat majoriti.

Hinggakan menteri perpaduan menjadi punca perpecahan dan rakyat bercakaran sesama sendiri dalam isu-isu remeh hingga ke isu pokok pembinaan negara.

Dalang kepada segala permasalahan itu adalah para pemimpin DAP yang menjadi tonggak PH. Habis hak keistimewaan Melayu mahu dihapuskan walaupun ia telah dijamin oleh Perlembagaan.

Akhirnya Melayu kembali bersatu parti-parti yang banyak diwujudkan tanpa mereka sedar mempunyai perjuangan yang sama iaitu mewujudkan kerajaan tanpa DAP.

UMNO dari awal lagi menolak segala kerjasama dengan DAP akhirnya berjaya membentukan MN dengan Pas yang mempunyai pengalaman pahit bekerjasama dengan DAP.

Dan yang terbaharu ialah Bersatu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai MN bagi mengukuhkan kerajaan tanpa DAP.

Sebenarnya pembentukan pelbagai parti berasaskan Melayu mempunyai kebaikan tersendiri walaupun pandangan totok menyatakan menjadi punca perpecahan Melayu.

UMNO sendiri tidak mampu memenuhi cita-cita politik banyak pihak. Parti itu mempunyai struktur yang telah utuh dan tidak akan dapat diubah dengan apa jua cara.

Pemimpin muda datang dan pergi dan ramai yang kekal hingga beruban, tetapi akhirnya mereka terpaksa mengikut cara kerja UMNO.

Ramai yang bercita-cita besar menjadi presiden dan memegang jawatan di dalam parti terbesar orang Melayu ini dengan hasrat yang subjektif tetapi lebih kepada membawa fahaman politik masing-masing.

Perkara itu tidak akan berlaku di dalam UMNO. Bagi mereka yang mahukan pendekatan lebih Islamik, mereka mempunyai platform Pas dan terbaharu Bersatu.

Parti-parti serpihan dari UMNO ini membuka ruang dan peluang kepada pemimpin berbakat untuk ke depan serta memimpin khalayak.

Walaupun peringkat awal mereka akan bercakaran dengan UMNO, tetapi akhirnya mereka kembali mendakap parti itu demi keutuhan, keharmonian dan kestabilan bangsa, agama dan negara.

MN kini mempunyai tiga pemimpin utama iaitu Zahid, Hadi dan Muhyiddin. Kejayaan awal telah diperolehi di Dewan Rakyat ketika menukarkan yang dipertua serta timbalannya dan disusuli kejayaan kedua meluluskan rang undang-undang perbekalan.

Walaupun kemenangan tipis, tetapi ia adalah isyarat awal untuk kesepakatan yang lebih utuh di peringkat pemimpin atasan dan Pilihan Raya Kecil Slim River akan menjadi ujian awal muafakat di peringkat akar umbi ketiga-tiga parti.

Jika ujian ketiga ini lulus, ujian keempat Pilihan Raya Negeri Sabah dan ujian paling utama Pilihan Raya Umum tidak akan menjadi masalah. – SM

 

 

 

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button