Politik

MCA tak bertanding di PRN: Saya malu kalau masih jadi Presiden!

BEKAS Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek menyifatkan keputusan parti itu untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini sebagai “sangat tragis”.

“Jika saya masih presiden MCA, saya akan malu,” kata Chua yang dipetik daripada laporan Sin Chew oleh FMT.

Beliau berpandangan, keadaan MCA sekarang amat menyedihkan.

Tambah beliau, kewujudannya adalah nominal sepenuhnya.

Ramai ahli, kata Chua, hanya cuba menggembirakan Presiden parti.

Jika pemimpin tertinggi MCA terus mengekalkan sikap ini, parti itu akan musnah, kata Chua.

Pada 5 Julai lalu, awal-awal lagi MCA mengumumkan bahawa ia tidak akan bertanding dalam PRN di enam negeri dan akan memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Rakan komponen Barisan Nasional (BN), MIC turut mengikuti keputusan yang dibuat oleh MCA itu dalam tempoh sejam.

Pada Mac lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, parti itu telah merasai “lebih banyak kekalahan daripada kemenangan” di enam negeri itu sejak 2008.

Tambah beliau, rundingan kerusi akan menjadi sangat mencabar kerana ia tidak mempunyai kuasa rundingan.

Sementara itu, Chua mengkritik Wee berhubung pergaduhan yang didakwa tercetus semasa acara MCA di Selangor pada malam Khamis dengan mendakwa Presiden MCA itu berdiam diri mengenai insiden berkenaan.

Menurut China Press, seorang wakil MCA Sabak Bernam tidak bersetuju dengan ucapan ketua MCA Kapar, Song Kee Chai pada majlis itu dan cuba mengganggunya.

Ketika Song dan kumpulannya ke meja lelaki itu untuk berbincang, lelaki terbabit didakwa mengutuk ketua bahagian MCA sebelum pergaduhan berlaku.

Sebuah kerusi dilaporkan tercampak di tengah-tengah kekecohan itu sehingga mencederakan individu lain.

Chua mendakwa Wee berada di majlis itu dan sepatutnya campur tangan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button