NasionalParlimen

Maszlee gesa keputusan tutup sekolah diserah kepada Pejabat Pendidikan Daerah

KEPUTUSAN menutup sekolah akibat serangan wabak Koronavirus (Covid-19) lebih berkesan jika diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah.

Ini kerana, mereka dilihat lebih mengetahui situasi sebenar terhadap sekolah-sekolah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing mengenai tahap penularan pandemik itu.

Selain itu, penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga dilihat wajar untuk memastikan hanya sekolah yang benar-benar terkesan sahaja ditutup.

Berdasarkan gesaan itu, matlamat utama dapat dilihat supaya pembelajaran lebih berkesan ketika pandemik dapat dibuat.

Penutupan sekolah secara ‘pukul rata’ itu dikhuatiri menyebabkan sekolah yang sepatutnya terus dibuka bagi mengelak keciciran dalam pelajaran tidak meneruskan sesi pembelajaran mereka.

Ini adalah satu kerugian kepada pelajar-pelajar yang berada dalam daerah yang tidak terjejas atau zon hijau memandangkan pembelajaran secara dalam talian juga kurang berkesan.

“Dalam masalah penutupan dan pembukaan kembali sekolah, mengapa tidak diserahkan kepada pejabat pendidikan daerah bersama dengan sekolah setempat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru?

“Mereka lebih mengetahui keadaan di kawasan mereka berbanding di Putrajaya.

“Biarlah keputusan dibuat di peringkat mikro serta lokal dan bukannya di peringkat pusat.”

Kata bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika membahaskan Belanjawan 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan siaran pendidikan yang keudarakan menerusi media arus perdana hanya dua jam sahaja dalam sehari.

Menurut beliau, ia adalah tidak mencukupi dan terlalu singkat jika dibandingkan dengan negara seperti Indonesia dan Thailand yang memperuntukkan enam jam sehari dan 15 saluran pendidikan.

“Putrajaya mesti menjelaskan status kontrak rundingan terus bernilai RM2 juta bagi menerbitkan 800 program TV pendidikan menjelang akhir Oktober lepas,” gesanya.

Beliau juga dilihat mempertahankan kenyataan bekas timbalannya, Teo Nie Ching yang juga mempersoalkan kelewatan dalam menyiarkan rancangan TV pendidikan.

Menurut Nie Ching, siaran TV itu adalah pilihan alternatif terbaik bagi pelajar yang tidak ada kemudahan seperti laptop, komputer atau alat bantuan belajar. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button