MAS sedia 7,000 tempat duduk tambahan untuk musim perayaan
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd akan menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu semasa tempoh Hari Raya.
Penerbangan itu, bermula 28 April hingga 8 Mei, adalah untuk menampung lonjakan perjalanan domestik.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu berkata dengan kekerapan tambahan itu, lebih 7,000 tempat duduk akan disediakan.
Tambang akan diselaraskan untuk pelanggan menikmati tambang rendah, katanya.
Bagi meraikan perayaan Hari Raya, Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 20% tambang penerbangan ke semua destinasi domestik untuk tempahan dari 19-27 April bagi perjalanan sehingga 31 Julai.
“Penerbangan dari Kuala Lumpur akan bermula serendah RM139 untuk tambang semua masuk ke destinasi Semenanjung Malaysia, dari RM209 ke Miri, Bintulu, Kuching, Sibu dan Sandakan, dan dari RM262 ke Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata syarikat penerbangan di seluruh dunia menetapkan harga tiket penerbangan secara dinamik — tertakluk kepada permintaan dan bekalan dan berdasarkan tarikh, masa dan ketersediaan tempat duduk dalam jangka masa tertentu.
“Tambang juga akan diselaraskan berdasarkan kesanggupan penumpang untuk membayar, trend kemuncak dan bermusim serta daya saing berbanding syarikat penerbangan lain.
“Ia tidak sekali-kali berniat memacu tambang tinggi untuk menyusahkan pelanggan kami, terutamanya semasa musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata faktor muatan Malaysia Airlines telah melepasi 90%, dengan pelanggannya membeli tiket kelas ekonomi antara RM139 hingga RM1,047 semasa tempoh perjalanan puncak yang ditawarkan dalam promosi terdahulu.
“Kami menggalakkan pelanggan kami merancang perjalanan dan membeli tiket mereka semasa tempoh promosi yang ditawarkan oleh Malaysia Airlines dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka mengoptimumkan pilihan mereka untuk menikmati layanan Malaysia kami.
“Malaysia Airlines telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan perjalanan selamat dan terjamin berikutan tuntutan syarikat penerbangan yang mengenakan tambang tinggi semasa musim perayaan baru-baru ini,” katanya.