Ekonomi

Public Bank diiktiraf atas sumbangannya dalam e-pembayaran

Komitmen Public Bank Berhad terhadap ekosistem e-pembayaran negara sekali lagi menerima pengiktirafan melalui dua anugerah – The Best MyDebit Bank dan Best MyDebit (Acquirer – Bank) pada Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEEA) 2022.

MEEA dianjurkan setiap tahun oleh Payments Network System (M) Sdn Bhd (PayNet) bagi mengiktiraf pencapaian bank-bank, perniagaan dan agensi kerajaan dalam memberi sumbangan yang besar ke arah kecemerlangan, inovasi dan perkembangan e-pembayaran di Malaysia.

Public Bank dalam satu kenyataan hari berkata, mereka secara konsisten telah menerima pelbagai anugerah e-pembayaran sejak beberapa tahun yang lepas. Anugerah The Best MyDebit Bank in Malaysia, misalnya, disandang oleh Public Bank selama enam tahun  Berturut-turut.

PayNet, yang merupakan rangkaian dan penyedia infrastruktur perkongsian berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia, dalam suratnya semasa mengucapkan tahniah kepada Public Bank menyebut: “Komitmen dan usaha holistik Public Bank untuk menggalakkan penggunaan, penerimaan, kebolehpercayaan, libat urus dan pengalaman bersama-sama dengan pelanggan, telah memberi impak penting dalam membawa e-Pembayaran di
Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.”

Memastikan keperluan perbankan pelanggan dipenuhi melalui penggunaan sistem e-pembayaran merupakan sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Public Bank yang menumpukan pada pemberian kemudahan kepada pelanggan sambil memastikan keselamatan produk dan perkhidmatannya.

Komitmen Public Bank terhadap kecemerlangan perkhidmatan dapat dilihat melalui perkhidmatan tanpa gangguan sepanjang sekatan pergerakan yang dikenakan berikutan wabak COVID-19 dan komitmen ini diteruskan dengan pemulihan ekonomi secara berperingkat-peringkat, menambahkan lagi pengalaman pelanggan dalam norma baharu.

Sebagai bank pertama di Malaysia yang menerima pembayaran QR merentas sempadan dari Negara Thai dan Indonesia, Public Bank terus menerajui perkhidmatan e-pembayaran dengan tawaran yang tepat pada masanya ini kerana ia juga membantu mengekang penularan Covid-19 dengan mengurangkan kontak fizikal antara pembeli dan peniaga.

Perkhidmatan ini kekal relevan dengan pembukaan sempadan antarabangsa yang mana pengembara dari Negara Thai dan Indonesia boleh memilih untuk membuat pembayaran kepada saudagar PBe QR menggunakan akaun bank negara masing-masing.

Ini disokong oleh penyelesaian pembayaran dalam talian terbaharu Public Bank yang lebih selamat – Perbankan Dalam Talian/Dompet DuitNow yang dilancarkan awal tahun ini bagi menyokong keperluan yang semakin meningkat terhadap ekonomi tanpa tunai.

Perbankan Dalam Talian/Dompet DuitNow menyokong saudagar dalam memudahkan penerimaan pembayaran masa nyata melalui perbankan dalam talian dan eDompet dan merupakan langkah ke hadapan bagi mewujudkan pengalaman pembayaran tanpa gangguan yang melibatkan pelbagai laluan, yang tentunya dihargai oleh pelanggan.

Public Bank akan terus memberi sokongan penuh untuk melonjakkan migrasi kepada pembayaran elektronik dengan melancarkan lebih banyak inisiatif e-Pembayaran selain terus mempertingatkan platform perbankan digitalnya.

Selain itu, Public Bank mengiktiraf keperluan untuk perniagaan mengubah dan mendigitalkan operasi perniagaan mereka untuk berkembang dalam norma baharu dan selain menyokong perjalanan pendigitalan mereka, Public Bank menawarkan kepada pelanggan korporatnya Program PB enterprise Digital SME Assist.

Melalui kolaborasi eksklusif dengan pelbagai rakan niaga digital yang mahir dalam bidang perakaunan, pengurusan sumber insan, telekomunikasi dan lain-lain, pelanggan korporat Public Bank boleh menikmati manfaat eksklusif, daripada diskaun dan ganjaran, bagi pelbagai penyelesai perniagaan digital berkenaan.

Pelanggan korporat juga dapat mengetahui pembangunan terkini industri tersebut melalui siri webinar yang diadakan.

Justeru, dengan pendekatan holistik bagi menyokong para pelanggannya, Public Bank terus menawarkan perkhidmatan yang akan membantu pelanggan korporatnya untuk menyegerakan pertumbuhan mereka dengan meningkatkan keupayaan digital masing-masing selari dengan pengembangan perniagaan mereka.

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button