Politik

Manifesto PH-BN Negeri Sembilan bakal dilancar minggu ini

Manifesto gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Negeri Sembilan akan dilancarkan minggu ini kata Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, isi kandungan manifesto yang akan dilancarkan itu menjadi tawaran paling baik bagi rakyat di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, manifesto tersebut dalam deraf terakhir untuk melihat kebersamaan sebelum ia dimuktamadkan nanti.

“Ini adalah kali pertama PH dan BN berganding bahu jadi kita akan lihat manifesto ini mencakupi semua kebersamaan dan paling penting rakyat akan menerima nikmatnya.

“Manifesto yang akan dilancarkan nanti akan kita laksanakan dan ia bukan sekadar janji semata-mata jika PH dan BN memenangi PRN pada 12 Ogos ini,” ujarnya di sini hari ini.

Aminuddin yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 berkata, semua calon yang bertanding perlu menjaga kesihatan dan mendapatkan rehat yang cukup.

Aminuddin mempertahankan kerusi DUN Sikamat berdepan tiga calon lain iaitu Ahmad Raihan Muhamad Hilal dari Perikatan Nasional (PN) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button