Analisis

Kewajaran Kenaikan Tarif Elektrik

KENAIKAN tarif elektrik adalah isu yang sering diperdebat kerana ia memberi kesan langsung kepada rakyat, industri dan ekonomi negara.

Namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab isu itu harus ditangani dan dilaksanakan secara teliti supaya kesan berkenaan dapat diminimumkan.

Justeru  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan komuniti perniagaan, selain 85 peratus isi rumah akan terus mendapat subsidi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.

Berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) hari ini, beliau juga menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif dijadualkan bagi tempoh tersebut.

Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah. Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.

Selain tarif asas, terdapat mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan. ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api. Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai, 2025.

Sebab-sebab kenaikan tarif elektrik adalah berhubung rapat dengan kenaikan kos bahan api seperti arang batu dan gasl asli. Jika harga bahan api global naik, kos pengeluaran elektrik turut meningkat.

Syarikat tenaga seperti TNB (Tenaga Nasional Berhad) perlu menyelenggara loji janakuasa, grid elektrik, dan sistem penghantaran.

Kenaikan tarif elektrik ini hanya tindakan jangka pendek untuk menyeimbangkan perbelanjaan kerajaan, namun langkah jangka panjang yang harus diambil adalah beralih kepada tenaga hijau seperti solar dan hidro untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Dalam pada itu kerajaan digesa supaya memperhalusi mengenai kesan kenaikan tarif elektrik.

Ini kerana banyak lagi yang bakal berlaku pada bulan tersebut seperti penyelarasan subsidi RON95, kenaikan tarif air dan perluasan skop cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap banyak lagi barangan.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, perkara itu akan menyebabkan rakyat terus terhimpit dengan pelbagai tekanan ekonomi ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin melonjak.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan keuntungan bersih RM1.58 bilion, meningkat hampir dua kali dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 September 2024, daripada RM856.20 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini belum dicampur dengan keuntungan pada suku keempat 2024. Bermakna, dengan tarif sekarang ini pun, TNB mencatat keuntungan berbillion ringgit. Jadi, apa alasan mahu meningkatkan tarif?

“Kedua, Perdana Menteri menjelaskan kenaikan tarif hanya melibatkan industri bukan rakyat 85 peratus. Namun, ‘golongan maha kaya’ bakal menerima kenaikan tarif iaitu 15 peratus.

“Penting untuk dihadam kesan kenaikan tarif elektrik bakal membawa kesan domino yang menyebabkan harga barangan dan makanan akan naik. Yang menerima tempiasnya adalah 100 peratus rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button