
Timor-Leste di landasan tepat anggotai ASEAN, harap sertai di bawah Kepengerusian Malaysia
KUALA LUMPUR – Timor-Leste kini semakin hampir untuk mendapatkan keanggotaan penuh dalam ASEAN setelah memenuhi kira-kira 70 peratus daripada kriteria yang diperlukan.
Duta Timor-Leste ke Malaysia, Lisualdo Gaspar berkata, negara itu telah mengambil bahagian secara aktif dalam hal ehwal ASEAN sejak diberikan status pemerhati pada 2022 susulan penerimaan permohonannya secara prinsip oleh pemimpin ASEAN.
Beliau berkata, pada 2023, negara anggota ASEAN telah meluluskan hala tuju bagi penyertaan Timor-Leste, dan sejak itu, negara itu giat berusaha memenuhi kriteria yang digariskan.
“Daripada tujuh kriteria yang diperlukan, kami telah berjaya memenuhi lima daripadanya. Dua kriteria yang masih berbaki berkaitan dengan kesiapsiagaan infrastruktur, khususnya apabila Timor-Leste kelak memegang kepengerusian ASEAN, serta instrumen perundangan berkaitan dengan teras ekonomi,” katanya dalam temu bual bersama program The Nation: Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV di sini pada Selasa.
Gaspar berkata, walaupun Timor-Leste telah menyatakan komitmen penuh terhadap teras politik dan sosiobudaya ASEAN, masih terdapat 62 instrumen ekonomi yang perlu dipatuhi, dengan kira-kira 70 peratus daripadanya telah diselesaikan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada negara anggota ASEAN, khususnya Malaysia, atas bantuan teknikal yang diberikan bagi mempersiapkan pegawai Timor-Leste untuk proses integrasi.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Timor-Leste memperoleh keanggotaan penuh ASEAN tahun ini, beliau menilai kebarangkaliannya pada tahap “tujuh hingga lapan daripada 10”, dengan menekankan komitmen negara itu terhadap proses berkenaan sambil mengakui bahawa keputusan akhir terletak pada konsensus pemimpin ASEAN.
“Menyertai ASEAN adalah keutamaan utama kami. Kami telah menunjukkan komitmen melalui kemajuan nyata, dan kami berharap di bawah Kepengerusian Malaysia, penyertaan ini dapat direalisasikan,” katanya.
Gaspar berkata, Timor-Leste kini memberi tumpuan untuk mempelbagaikan ekonominya yang masih bergantung kepada hasil minyak dan gas.
“Kerajaan sedang melabur dalam pembangunan infrastruktur bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk aktiviti ekonomi, dengan penekanan khusus kepada sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Keutamaan kami adalah membangunkan sektor pertanian untuk keterjaminanan makanan dan penjanaan pendapatan, manakala sektor pelancongan dan hospitaliti mempunyai potensi besar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Kami juga sedang menggiatkan usaha bagi mewujudkan industri petrokimia, termasuk pembinaan kilang penapisan minyak dan kemudahan pemprosesan gas asli cecair (LNG), bagi mencipta peluang pekerjaan serta merangsang ekonomi tempatan,” katanya.
Selain itu, Gaspar berkata, negara itu kini berada di peringkat akhir pemasangan rangkaian gentian optik nasional yang dijangka mempercepatkan pendigitalan serta sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.
Timor-Leste juga telah menerima pakai Jendela Tunggal Nasional bagi memudahkan perdagangan, sekali gus memperkukuh integrasi dengan pasaran serantau.
Mengenai pengukuhan hubungan dengan Malaysia, Gaspar berkata, Timor-Leste berhasrat untuk memperdalam kerjasama, khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan dana bagi membolehkan pelajar Timor-Leste melanjutkan pengajian di universiti di Malaysia, dengan mengambil kira kekuatan akademik dan penyelidikan di negara ini.
“Tahun lepas, seramai 32 pelajar menerima biasiswa kerajaan untuk belajar di Malaysia, dan kami bercadang untuk meningkatkan jumlah ini pada tahun-tahun akan datang.
Belajar di sini akan memberi pendedahan kepada teknologi maju serta kerjasama industri yang dapat membekalkan kemahiran penting bagi pembangunan negara kami,” katanya.
Bagi menarik lebih ramai pelawat dari Malaysia, Gaspar berkata, Timor-Leste baru-baru ini memperkenalkan kemasukan tanpa visa untuk warganegara Malaysia serta memeterai perjanjian perkhidmatan udara dengan Malaysia, membuka laluan kepada penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Dili.
“Pelaburan dalam infrastruktur adalah kunci untuk meningkatkan kesalinghubungan, dan kami sedang membangunkan tarikan pelancongan baharu di sepanjang pantai serta kawasan pergunungan bagi mempromosikan ekopelancongan,” katanya.
Dengan pelbagai inisiatif ini, Gaspar berkata, Timor-Leste berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai anggota ASEAN yang dinamik dan berpandangan ke hadapan, serta bersedia untuk mengintegrasikan sepenuhnya ke dalam rangka kerja ekonomi dan geopolitik serantau.