Nasional

Malaysia lebih proaktif bendung jangkitan Koronavirus berbanding SARS 2002

TINDAKAN Malaysia membendung penularan penyakit berjangkit 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) disifatkan lebih bersedia, pantas serta proaktif berbanding ketika berdepan wabak berbahaya dahulu seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), virus Nipah, serta Ebola.

Pakar penyakit berjangkit Datuk Dr. Christopher K.C. Lee berkata, berdasarkan pengalaman negara dalam mengawal kes-kes penyakit berjangkit terdahulu menjadikan Malaysia lebih bersedia termasuk meningkatkan tahap imbasan kesihatan di semua pintu masuk negara serta pengasingan mereka yang dijangkiti wabak itu.

Dr Christopher berkata langkah pantas seumpama itu adalah penting bagi mengurangkan potensi berlakunya ‘local transmission’ panyakit itu dalam negara ini.

“Berbanding ketika SARS pada 2002, kita ambil masa berminggu-minggu untuk mengesan wabak itu, kini dengan pengalaman, kepakaran dan teknologi kita mampu mengesan wabak itu lebih awal.

“Kita (negara) sekarang dalam fasa ‘pembendungan’, untuk menyekat ia daripada sebarang penularan di sini. Tujuh kes yang dikesan bukan dijangkiti dalam Malaysia tetapi di luar negara dan dibawa masuk ke negara ini. Penting untuk kita bendung wabak itu dari merebak dalam negara,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dikenali sebagai 2019-nCoV, Koronavirus yang menyebabkan keadaan seperti radang paru-paru, mula dikesan pada Disember lepas di Wuhan, China, dan gejala jangkitan termasuk demam, batuk dan sukar bernafas. Setakat Rabu 8 malam, tujuh kes positif disahkan di Malaysia.

Dr Christopher bagaimanapun berkata, selain kaedah imbasan haba, hebahan makluman dan informasi kepada setiap pelancong yang masuk ke Malaysia khususnya dari kawasan yang dijangkiti juga penting.

“Mereka (pelancong) juga perlu diberi maklumat tentang gejala wabak dan tindakan yang perlu seperti merujuk kepada hospital tertentu sekiranya berasa tidak sihat.

“Ini penting, kerana ketika mereka masuk ke Malaysia mungkin bukan dalam keadaan demam atau gejala wabak itu dan mungkin jatuh sakit selepas beberapa hari,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang berpengalaman mengendalikan kes SARS, Ebola dan virus Nipah itu berkata penularan Koronavirus di kawasan terjejas seperti Wuhan, China adalah lebih cepat berbanding penyakit berjangkit lain, tambahan dunia masih kekurangan data mengenai wabak baharu itu.

Jelasnya lagi, jangkitan Koronavirus menjadi lebih buruk kerana faktor peningkatan trend keluar masuk pelancong di China berikutan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ini menjadi lebih buruk kerana mereka melakukan perjalanan pada masa yang sama, jadi ia menimbulkan keadaan lebih rumit,” katanya.

Ditanya dakwaan kononnya Koronavirus boleh tersebar melalui permukaan barang yang diimport dari China, Dr Christopher berkata potensi perkara itu berlaku adalah rendah.

Katanya, kebanyakan virus bertahan dalam sesuatu persekitaran antara beberapa jam hingga beberapa hari, namun bergantung kepada keadaan tertentu.

“Walaupun kita kurang data mengenai Koronavirus, kita beranggapan ia seperti SARS dan influenza yang tidak berterusan lama dalam persekitaran, jadi tahap penularan wabak melalui barangan sangat rendah,” tambahnya.
– BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button