BeritaNasional

Ke mana perginya 5 juta ‘halimunan’ Wuhan?

PENGAKUAN Datuk Bandar Wuhan bahawa pentadbirannya menyembunyikan maklumat mengenai koronavirus (coronavirus) kepada orang ramai benar-benar membimbangkan dunia.

Menurut Zhou Xianwang, pasukannya tidak mendedahkan maklumat tentang situasi tersebut pada waktu sepatutnya.

Dalam bahasa mudah, beliau gagal memberi penjelasan atau ‘enggan’ memaklumkan situasi sebenar ketika virus tersebut mula menyerang.

Sedangkan kata Zhou Xianwang: “Kami juga menyaksikan penyebaran koronavirus tersebut antara manusia pada skala yang besar.”

Hanya selepas ribuan kes koronavirus dikenal pasti, beliau turut mendedahkan bahawa kira-kira lima juta penduduk Wuhan telah meninggalkan bandar itu yang kini telah dikuarantinkan.

Sebagai menebus kesalahan, Zhou Xianwang dan Setiausaha Parti Komunis Wuhan dilaporkan bersedia untuk meletak jawatan.

Tindakan meletak jawatan dianggap sebagai pilihan terakhir sekali gus menggambarkan betapa seriusnya ancaman yang sedang berlaku.

Kebimbangan yang menghantui seluruh dunia sekarang ini adalah ke mana kira-kira lima juta penduduk Wuhan ini pergi?

Virus baharu itu mula dikesan di bandar Wuhan, China pada akhir Disember lalu.

Pada Isnin lalu,  WHO meningkatkan tahap risiko global daripada ‘sederhana’ kepada ‘tinggi’ berikutan jumlah kes disahkan akibat koronavirus di seluruh dunia semakin membimbangkan.

Hakikatnya, sejak berita koronavirus menular, banyak negara telah menyekat kemasukan pelancong China.

Kita faham, langkah tersebut diambil bagi menghalang penyebaran virus tersebut ke negara-negara terbabit.

Namun, masih ada negara yang tidak bertindak sedemikian. Antara negara tersebut adalah negara kita – Malaysia.

Hanya baru-baru ini kerajaan telah mengeluarkan arahan menghalang kemasukan pelancong China, itu pun daripada bandar Wuhan, wilayah Hubei dan bandar-bandar berdekatannya.

Hakikatnya, majoriti pelancong China yang bukan berasal dari Wuhan atau Hubei dan berdekatan wilayah itu masih boleh memasuki negara ini.

Langkah ini mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.

Rata-rata komen netizen dalam media sosial pula  mahu langkah lebih drastik dibuat selain mendesak pihak berkuasa tempatan supaya  tidak terlalu bertoleransi dalam permasalahan ini.

Bagi mereka, soal keselamatan dan nyawa rakyat harus diletakkan di tangga teratas setiap tindakan atau keputusan yang mahu diambil.

Sekarang bukan masa untuk berpolitik

Dalam isu ini, rakyat tidak lagi peduli tentang ‘usaha kerajaan mencapai sasaran menarik kemasukan pelancong terutama dari China.’

Benar Kementerian Kesihatan memantau dan mengetatkan prosedur pemeriksaan kesihatan terhadap setiap pelancong yang memasuki negara kita, namun difahamkan virus ini lebih bijak apabila terdapat kes mangsa gagal dikesan.

Sehingga semalam, jumlah kes yang disahkan positif jangkitan koronavirus atau diistilahkan sebagai 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) dilaporkan telah mencecah 6,052 orang.

Angka tersebut melebihi bilangan yang terlibat dalam kes Sars, wabak yang mengorbankan lebih 600 orang di seluruh dunia pada 2002-2003.

Menurut South China Morning Pos, jumlah kematian meningkat kepada 132 orang dengan 840 kes yang baharu disahkan di wilayah Hubei.

Kesemua kematian akibat jangkitan koronavirus baharu tersebut dilaporkan berlaku di tanah besar China, dengan 125 daripadanya di wilayah Hube dan tujuh wilayah lain.

Kira-kira 3,300 orang dimasukkan ke hospital di wilayah Hubei, dengan lebih 20,000 diletakkan dalam pemantauan akibat jangkitan tersebut.

Kes jangkitan turut disahkan berlaku di Hong Kong, Macau dan Taiwan.

Di samping itu sebanyak 6,973 kes disyaki dan 44,132 orang lagi berada di bawah pemantauan.

Melihat kepada peningkatan mendadak serangan virus ini, tidak hairanlah mengapa rakyat China berusaha melarikan diri ke negara-negara lain.

Apapun, kita tidak mahu kisah dipaparkan dalam filem Train to Busan yang pernah mencetuskan fenomena bagi peminat-peminat seni sedikit masa lalu, mengambil tempatnya di Malaysia.

Jika Train to Busan, mengisahkan usaha penduduk Korea Selatan yang mahu menyelamatkan diri daripada wabak zombie, jangan sampai Malaysia pula menjadi tumpuan lima juta rakyat China ‘halimunan’ tersebut.

(Visited 238 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button