Nasional

Penting untuk negara-negara bekerjasama tangani pelbagai isu – Dr Mahathir

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata amat penting bagi semua negara hari ini bekerjasama dan saling mempelajari antara satu sama lain mengenai isu-isu yang boleh memberi kesan terhadap cara mereka menghadapi dunia.

Semasa berucap di Forum Doha 2019 yang bertajuk “Reimagining Governance in a Multipolar World” dari perspektif Malaysia, beliau berkata tidak ada negara yang boleh hidup secara terasing, dan bagi Malaysia, ia tidak mencari negara sekutu, sebaliknya ia memerlukan rakan kongsi dan negara sahabat.

“Kita berada pada tahap dalam sejarah di mana negara-negara perlu mempunyai hubungan merentasi spektrum yang luas. Kita harus menerima hakikat bahawa kita bukan sahaja hidup dalam dunia unipolar, kita juga tidak berada dalam dunia bipolar.

“Kita hidup di dunia multipolar, di mana tidak ada negara hegemonik, tetapi hubungan adalah saling berkaitan yang bergerak dalam pelbagai arah. Dalam erti kata lain, ia boleh digambarkan sebagai integrasi kepelbagaian dan kreativiti di kalangan budaya, negara, dan ekonomi di dunia,” katanya.

Turut hadir di forum itu adalah Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dan beberapa pemimpin lain.

Dr Mahathir berkata semua negara perlu mengakui hakikat bahawa hidup secara ‘terasing’ adalah mustahil, dan kemajuan komunikasi telah menjadikan kita semua jiran sebelah yang mempunyai sempadan yang poros.

Beliau berkata malah dalam keadaan sekarang terdapat hubungan antara masyarakat manusia, yang boleh menjana perubahan ekonomi, sosial dan politik di seluruh dunia, dan kita melihat pergerakan besar-besaran manusia, membawa bersama mereka bukan hanya perbezaan dalam etnik tetapi juga bahasa, budaya dan sistem nilai.

“Negara-negara yang masih percaya pada hegemoni akan hanya mewujudkan perbalahan, ketegangan dan ketidakstabilan. Oleh itu, dunia multipolar perlu digabungkan dengan integrasi yang lebih baik di kalangan negara rakan dan sahabat, di samping diplomasi berterusan pelbagai hala di arena global,” tambahnya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa tempat pertama Malaysia mencari rakan kongsi adalah di negara tetangga, dan Malaysia mempunyai slogan yang menyeru kita “untuk mensejahterakan negara jiran”.

“Dunia hari ini berhadapan dengan peningkatan kebimbangan terhadap kemampanan pertumbuhan ekonomi global dalam menghadapi cabaran kewangan, politik, sosial dan alam sekitar yang semakin mencabar. Di Asia Tenggara, 10 negara memutuskan untuk bekerja sebagai yang perkumpulan yang hebat. Hasilnya adalah kestabilan dan kemakmuran,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata sebagai salah satu negara pengasas perkumpulan ASEAN, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam pembinaan komuniti ASEAN dam integrasi serantau.

Beliau berkata ia menjadi asas bagi dasar luar Malaysia, dan meskipun ada kepelbagaian dalam soal politik, ekonomi dan budaya dalam kalangan negara anggota, ASEAN telah mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau itu sejak 52 tahun yang lepas.

Dr Mahathir berkata Malaysia adalah negara yang mesra, dan berhasrat untuk berkawan dengan semua, dan tidak mahu menjadi musuh sesiapa, kecuali yang jelas ada satu.

“Jumlah penduduk kami amat kecil untuk menyediakan pasaran yang baik. Kami perlukan pasaran global. Tidak ada peruntukan dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan sesebuah negara mengenakan sekatan secara unilateral keatas negara lain. Sekatan unilateral mewujudkan masalah juga kepada lain-lain negara.

“Malaysia dan juga lain-lain negara kehilangan pasaran yang besar apabila sekatan Amerika dikenakan terhadap Iran. Malaysia tidak menyokong pengenaan semula sekatan unilateral oleh Amerika terhadap Iran. Tindakan itu jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa. Sekatan hanya boleh dikenakan oleh PBB, selaras dengan Piagamnya.

“Saya ingin mengulangi ucapan saya di Perhimpunan Agung PBB berhubung isu ini. Sekiranya kita berhasrat mengenakan sekatan, kita perlu ada undang-undang untuk mentadbirnya,” katanya.

Sementara itu perdana menteri berkata perang perdagangan, sama seperti lain-lain perang, adala bersifat primitif, dan seperti lain-lain perang juga ia memihak kepada yang kuat, menindas yang lemah.

“Ia adalah pilihan negara pembuli. Dakwaan mengambil berat mengenai nilai dan hak asasi manusia – itu semua tidak bererti. Orang yang paling menderita ialah kumpulan orang miskin. Mereka adalah orang yang dipinggirkan, menerusi kos yang tinggi, kekurangan serba-serbi, dan sebagainya.

“Konflik mengenai perdagangan memang akan berlaku, namun resolusi mereka perlu menerusi rundingan, timbang tara, atau menerusi undang-undang yang dipersetujui oleh negara-negara yang berkaitan. Dalam setiap konflik, tperlu ada kesanggupan untuk menyerahkan sesuatu, dalam usaha mendapatkan sesuatu,” katanya.

Beliau turut memperakui bahawa perubahan iklim adalah satu lagi isu yang mengancam keselamatan makanan, akses kepada air bersih, kehidupan, infrastruktur, pembangunan ekonomi serta sosio-budaya, dan ia membimbangkan banyak pihak.

Dr Mahathir berkata sifat global fenomena ini memerlukan respons yang bersepadu dan penyelarasan global oleh semua negara untuk menangani kesan iklim semasa dan untuk mengurangkan impak masa depan perubahan iklim. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button