Politik

Mad Hasan Bagi ‘Hint’ UMNO Perlu Bersedia & Desak PRU Disegerakan Dengan Izin!

Memenangi pilihanraya dan menguasai Kerajaan bermakna merancang agar PRU diadakan pada masa dan waktu yang tepat.

PRN di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya sekarang dan bukan tahun hadapan.

Berikut adalah perincian daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan:

Pertama, kerana pihak lawan ternyata sangat lemah.

PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 kerusi dari 14.

PN pula dalam semua PRN lepas, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing yang handal lagi digeruni. Di Johor, PN telah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi.

Manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah. ‘Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot’! Dengan izin.

Itu falsafah peperangan. Melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang. (Jangan kita ulangi langkah sumbang PRU 14).

Kedua, umum mengetahui bahawa persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru.

Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing.

Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN.

Ketidaksepaduan pembangkang adalah ‘strategik kepada UMNO’. Inilah masanya kita pantas memintas saat mereka berpecah dan bertelagah.

Ketiga, pelbagai pilihan raya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur.

Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU ke 15. Malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik. Semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.

Keempat, prestasi kita sebagai Kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Russia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian tentang kemungkinan adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan USA dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan dampak semua ini.

Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN.

Semua ini akan menjadi peluru politik PH untuk menembak Kerajaan dan Umno akan menerima tempiasnya.

Kerana itu, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa.

Dan terakhir, BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih Kerajaan yang sah.

UMNO adalah ‘the custodian of democracy’ di negara ini. Bukan sekadar pemain politik biasa. Kita yang membidani, menyubur dan melestarikan demokrasi di tanahair ini.

Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh Kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihanraya yang demokratik.

Keabsahan Kerajaan sekarang terus dipersoal. Kita tidak menang dalam PRU lepas. Kita hanya menguasai Kerajaan melalui percaturan politik.

Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan CSA dan MOU untuk mengurus kestabilan negara ini?

Sejak bila, kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah, bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila?

Kita berkehendakkan kerajaan dengan parti yang terkuat, yang tanpanya, sebuah kerajaan yang stabil tidak boleh dibentuk.

Mengambil kira semua ini, UMNO harus mengambil pendirian tentang kewajaran menyegerakan PRU ke 15.

Saya maklum, ada dalam kalangan kita yang membantah cadangan ini. Akan tetapi, apakah jaminannya bahawa keadaan akan lebih memihak kepada BN jika kita terus menangguhkan PRU?

Adakah alasan menolak PRU sekarang, berdasarkan satu penilaian risiko ‘risk analysi’ yang teliti dan mendalam? Atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi?

Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Dan jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?

Momentum apa lagi yang BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila ‘the feel-good feeling’ terhadap Kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar?

Apakah jaminan bahawa CSA dan MOU yang kita meterai sekarang ini akan terus bertahan dalam keadaan politik yang sangat dinamik ini?

Saya pulangkan semua ini untuk Puan-puan dan saudara saudari fikirkan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button