Nasional

Lelaki mengamuk langgar lima orang awam, dipercayai mabuk

LELAKI yang mengamuk dan melanggar lima orang awam dengan keretanya di perkarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa, semalam, dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pemborong tayar, melanggar gerai serta pengunjung di tapak penjaja itu, menyebabkan lima orang awam cedera.

Beliau berkata lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (11) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan polis meminta saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Azam menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian negatif terhadap kejadian itu dan

meletakkan sepenuh keyakinan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan selepas mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi keretanya semasa dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

Berikutan itu, lima orang mengalami kecederaan akibat dilanggar lelaki terbabit.

Terdahulu, tular di laman sosial yang memaparkan video berdurasi seminit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa. – BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button