Lelaki mengaku tidak bersalah tipu jual tanah tidak wujud
Seorang penyelia syarikat pengendali sisa pepejal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka di atas enam pertuduhan penipuan penjualan lot tanah tidak wujud bernilai hampir RM100,000 Mei tahun lalu.
Tertuduh, S. Sevasangar, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Tertuduh didakwa memperdayakan enam individu membabitkan dua rakan sekerjanya apabila menawarkan penjualan tanah tidak wujud di sekitar Alor Gajah dan Jasin.
Terpedaya dengan tawaran itu hingga mendorong enam mangsa lelaki berusia antara 34 hingga 53 tahun membayar antara RM2,051 hingga RM33,120 secara berperingkat-peringkat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Pengkalan Indah dan kedai dua ringgit di Pengkalan, Alor Gajah antara Mei 2022 hingga Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM57,000 bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana isteri tidak bekerja selain perlu menyara tiga anak dan menjaga ibunya yang mengidap sakit jantung.
Nurul Bahiyah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – SM
PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!