Nasional

Lelaki Ghana terjun tasik elak ditahan Imigresen

SEORANG lelaki warganegara Ghana sanggup membahayakan diri dengan terjuk ke sebuah tasik semata-mata mahu mengelak daripada ditahan Jabatan Imigresen Malaysia.

Serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 1 petang tadi di sebuah kelab komuniti di kawasan Cyberjaya dan telah menahan dua orang lelaki yang bekerja di kelab tersebut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan lelaki yang terjun ke tasik di belakang kelab tersebut memaksa pegawai operasi untuk ikut terjun bagi menahan lelaki itu.

“Turut ditahan ialah seorang lagi lelaki warganegara sama yang turut bekerja di kelab tersebut dan kedua-dua mereka gagal mengemukan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata pihaknya juga telah melakukan serbuan Pudu dan Puchong pada semalam.

Jelasnya, operasi pertama dijalankan di sebuah hotel lama yang dikenalpasti sebagai kawasan ‘hotspot’ yang menjalankan aktiviti pelacuran di Pudu, Kuala Lumpur.

“Premis ini telah berulang kali diserbu agensi penguatkuasaan tetapi masih didapati menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan warga asing.

“Semasa serbuan terdapat cubaan melarikan diri oleh warga asing dipremis ini namun usaha meloloskan diri ini berjaya digagalkan.

“Seramai 63 orang individu telah diperiksa di premis ini dan hasilnya seramai 12 orang warga asing telah ditahan yang terdiri daripada lima orang wanita warganegara Vietnam dan tujuh lelaki warganegara Bangladesh,” katanya.

Jelasnya, operasi seterusnya dijalankan di kawasan Puchong, pada pukul 1 pagi tadi melibatkan pemeriksaan ke atas dua buah premis kediaman.

Ujarnya, sebanyak 21 orang individu telah diperiksa dan hasilnya seramai 12 orang warga asing yang terdiri daripada lima lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki dan enam wanita warganegara Indonesia telah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan dilakukan.

“Sepanjang siri operasi ini seramai 26 orang warga asing berjaya ditahan dan seramai empat orang warga tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat  diatas pelbagai kesalahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. -SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button