Uncategorized

Pembayaran BKC ringankan kehidupan penduduk luar bandar – Mahdzir

ARAHAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Kementerian Kewangan segera membayar Bantuan Khas COVID-19 (BKC) merupakan tanda keprihatinan beliau dan kerajaan terhadap rakyat berpendapatan rendah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembayaran itu juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa perdana menteri.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan pembayaran Fasa 1 dan 2, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) berjumlah RM3.1 Bilion secara berperingkat itu yang disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan pimpinan beliau.

“Pembayaran dua fasa membabitkan golongan iaitu Miskin Tegar, B40 dan M40 serta bujang itu juga mencerminkan kecaknaan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia terhadap rakyat berpendapatan rendah dan juga selaras dengan konsep kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

Mahdzir berkata pembayaran itu juga tepat pada masanya dalam usaha kerajaan meringankan beban golongan terbabit yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, berdasarkan angka penduduk luar bandar yang berjumlah 7.61 juta orang sebahagiannya merupakan tergolong dalam kelompok miskin tegar, B40 dan M40

“Pembayaran Bantuan Khas Covid-19 itu menunjukkan bahawa kerajaan menunaikan janjinya sebelum ini yang diumumkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.

“Adalah diharapkan dengan pembayaran bantuan tersebut, akan dapat melegakan dan sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan dan kos sara hidup golongan penerimanya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, pembayaran BKC akan bermula pada 6 September ini dan dijangka selesai pada 10 September.

Menurut beliau, dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan.

BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan
Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh perdana menteri terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH pada 28 Jun sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19.

Penerima yang terdiri daripada golongan miskin tegar, bujang hingga kumpulan M40 akan menerima bantuan berjumlah antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori.-SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button