fbpx
Sukan

Latihan tanpa sentuhan norma baharu bola sepak

SEMUA pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga M) kini boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua sukan itu dibenarkan berlatih tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi dan bola jaring serta sukan tempur seperti karate, taekwondo dan silat masih tidak dibenarkan dimainkan secara ‘match play’.

“Ini secara langsung memberi kebenaran kepada pasukan bola kebangsaan dan pasukan negeri atau kelab di bawah MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan akademi lain yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Am Individu dan SOP Pengurusan yang ditetapkan.

“Ia merupakan langkah permulaan sepertimana di negara luar, Liga Bola Sepak Inggeris yang telah memulakan fasa pertama dengan latihan tanpa sentuhan. Namun, kita guna SOP sendiri dengan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media di Menara KBS, hari ini.


Bagaimanapun, katanya jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu melaksanakan latihan penuh yang melibatkan sentuhan, FAM perlu membuat permohonan kepada MKN.

Katanya, latihan itu akan menggunakan pendekatan konsep program ‘Road to Tokyo’ iaitu ‘quarantine based’ bagi menjamin keselamatan atlet, jurulatih serta pegawai bertugas.

“Sebelum ini FAM datang untuk mohon mulakan liga. Tapi untuk latihan mungkin kita boleh kemuka permohonan ke MKN dari semasa ke semasa untuk latihan kemahiran penuh. Boleh dapat kelulusan itu jika ikut SOP ketat seperti program RTT,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang antara lain memberi lampu hijau dan ruang untuk sektor sukan dan rekreasi dibuka semula dengan pematuhan SOP akan ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata sukan permotoran masih tidak dibenarkan untuk menganjur kejohanan dan pertandingan bagi mengelakkan daripada himpunan orang ramai namun ‘track day’ bagi sukan permotoran dua roda dan empat roda dibenarkan untuk pengujian kenderaan.

Namun, beliau berpendapat sukan permotoran boleh dibuka semula kerana sukan berkenaan tidak melibatkan kontak rapat.

Sementara itu, Reezal Merican berkata KBS akan mengumumkan pemberian dana kepada persatuan sukan kebangsaan yang terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tahu persatuan sukan terkesan teruk dalam tempoh ini. Saya akan buat pengumuman pemberian dana bagi membolehkan mereka melakukan beberapa perkara untuk meneruskan aktiviti sukan. Buat masa sekarang, saya tidak mahu umum jumlah lagi.

“Dalam masa sama saya juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk pemberian dana kepada sukan permotoran juga,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengingatkan persatuan sukan para kebangsaan bahawa segala aktiviti sukan masih tertakluk kepada SOP walaupun kerajaan memberi kelonggaran untuk sektor sukan dan rekreasi dibuka semula bermula 15 Jun ini.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pasukan yang ingin kembali menjalani latihan berkumpulan dan bersentuhan perlu menyediakan garis panduan untuk dikemukakan permohonan kepada MKN menerusi KBS.

Pada masa yang sama, MPM juga bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberi kebenaran kepada beberapa sukan berpasukan yang amat berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan atlet.  – BERNAMA

(Visited 5 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button