fbpx
Politik

Takiyuddin kongsi gambar pemimpin BN, Pas, Bersatu tandatangan dokumen

SELEPAS menegaskan  kerjasama antara Pas, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mantap semalam, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Datuk Takiyuddin Hassan berkongsi gambar tiga pemimpin utama parti tersebut bersama-sama menandatangani satu dokumen.

Dalam gambar yang dikongsi di Twitternya itu kelihatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin MOhd. Yassin yang juga Presiden Bersatu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk bersama-sama menandatangani borang tersebut.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menyatakan tarikh gambar berkenaan dirakam. Beliau juga tidak menyatakan borang apa yang ditandatangani oleh ketiga-tiga pemimpin terbabit. Beliau hanya memetik pepatah Melayu dan juga kata-kata yang diucapkan oleh pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

“Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat, perbezaan pendapat yang jujur petanda kemajuan yang baik – Gandhi’,”  ciap Takiyuddin ringkas pada kapsyen gambar tersebut.

Semalam Takiyuddin berkata, PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.


BACA Kerjasama Pas, BN, Bersatu mantap, berjaya perkukuh PN hadapi PRU15

Menurutnya, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin bersama barisan kabinetnya yang terdiri daripada semua parti anggota Pas, Bersatu, BN, parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya Pas, Bersatu dan BN juga telah bersedia untuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebelum itu Dr. Maszlee Malik yang terlucut keahlian daripada Bersatu berkata, kedudukan Bersatu sangat rumit dan tersisih dalam kerjasama dengan UMNO dan Pas.

Beliau melontarkan persoalan melalui kerjasama PN berapa jumlah kerusi yang PAS sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada Umno dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Manakala UMNO pula disifatkan sebagai parti dominan dalam PN dan tidak ada pimpinan UMNO yang membantah atau mengeluarkan kenyataan mempertahankan Bersatu apalagi bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu.

“UMNO ialah parti dominan dan sudah tentulah calon perdana menteri bukan lagi Muhyiddin, tetapi daripada Umno. Calonnya sudah tentu Najib atau Zahid Hamidi,” kata Maszlee dalam kenyataan yang ditulis di Facebook beliau.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button