Lagi desakan Zahid letak jawatan
KUALA LUMPUR 20 Nov. – Shahril Hamdan meletakkan jawatan sebagai ketua penerangan UMNO hari ini.
Menurutnya, peletakan jawatan itu dibuat atas semangat “collective responsibility”.
“Atas semangat “collective responsibility” itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya,” tulisnya di Facebook hari ini.
Selain itu, dalam hantaran sama, Shahril turut menggesa Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat.
“Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 di PRU-15.
“Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.
” Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu.
“Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat,” katanya.
Malah, beliau juga berharap agar individu lain yang dapat memimpin serta membuat keputusan melibatkan parti.
“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini. Soal maslahat yang jauh lebih besar.
“Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. Ini bukan pengakhiran,” katanya lagi.
Pada PRU-15, BN kalah dengan hanya mendapat 30 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.