Kraf tangan kaum Penan mendapat permintaan tinggi di Eropah
PRODUK yang dihasilkan oleh masyarakat Penan seperti beg tangan yang dianyam menggunakan bahan terpakai telah mendapat permintaan tinggi dari negara seperti Jerman dan Switzerland sesuatu yang perlu dibanggakan.
Masyarakat Penan yang sinonim dengan usaha memanfaatkan hasil hutan demi kelangsungan hidup kini mengorak langkah ke hadapan tanpa mensia-siakan bakat mereka apabila menghasilkan kraf tangan yang mampu memikat pembeli di Eropah sekali gus menenbusi pasaran di benua itu.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam proses memasarkan kraf tangan yang dihasilkan mereka, tetapi produk mereka mendapat permintaan yang tinggi.
Menurut laporan BERNAMA, peniaga di Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati Ibrahim, 52, beliau menjual kraf tangan yang dibeli daripada masyarakat Penan di Ulu Baram selain memiliki beberapa produk yang dihasilkannya sendiri.
Tambahnya, beg tangan Penan sememangnya berkualiti tinggi dan hasil kerja kemas sebab itu produk tersebut mendapat permintaan tinggi di negara luar seperti New Zealand, Jordan, Australia dan Switzerland.
“Beg ini pun sudah terjual ke Jerman lebih 200 unit. Saya membuat pengeposan dari Kuala Lumpur kerana perlu melalui beberapa proses seperti membuat pengistiharan bahan untuk membuat beg ini dan sama ada bahan tersebut dapat dilupuskan atau tidak sebelum diberi kebenaran memasuki negara itu,” katanya.
Menurut Norsiati, selain berjaya dijual di benua Eropah, beg tangan tersebut juga mendapat tempat di butik pereka fesyen terkenal negara Bill Keith.
Beliau mencerita saat mula menceburi bidang penjualan kraf tangan tersebut 21 tahun lepas, hanya keazaman dan semangat yang tinggi telah membawanya ke tahap ini.
“Saya bermula dengan modal RM50. Produk kraf tangan yang dijual pada waktu itu pun tidak banyak. Sedikit demi sedikit saya kumpul wang dengan hasil jualan dan ketika ini saya mampu membuat jualan melebihi lima angka sebulan.
“Walau sebesar mana cabaran dan halangan yang dihahapi, sifat berputus asa tiada dalam kamus hidup saya dan itulah rahsia saya mampu bertahan sehingga kini,” katanya.
Mengulas mengenai Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati berkata, Pusat Kraf Tangan Miri menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan untuk mendapatkan produk kraf tangan yang diidamkan mereka.
“Terdapatnya tempat seperti ini, ia memudahkan kami para peniaga dan juga pembeli kerana tidak perlu lagi tercari-cari di mana hendak mendapatkan produk kraf tangan.
“Produk ini masih tidak dilupakan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri selain digunakan sebagai cenderahati pada majlis tertentu,” katanya.
Sementara itu, seoranga lagi peniaga, Batheria Aming turut mengakui beg tangan Penan merupakan ‘barangan panas’ dan selalu menjadi tumpuan pelanggan apabila melangkah masuk ke pusat itu.
“Kebanyakan pelanggan, sama ada dari Semenanjung atau tempatan akan tertarik melihat beg tangan itu, mungkin kerana warnanya yang pelbagai serta kualiti yang kemas,” katanya.
Hampir separuh kedai yang terdapat di premis tersebut menjual beg tangan Penan yang secara tidak langsung menarik pelanggan untuk menjenguk perniagaan mereka.
Secara keseluruhan, terdapat 13 gerai yang menjual pelbagai produk kraf tangan selain juadah tradisi etnik serta subetnik yang terdapat di sini dan pastinya akan menarik perhatian pelancongan dari dalam dan luar Sarawak. -SM