Nasional

Konon baru masuk Islam, rupanya memang kaki tipu imam dan ustaz

MENGADU kononnya baru memeluk agama Islam dan perlukan duit untuk menyelesaikan masalah sebelum melarikan diri selepas mendapat wang.

Itulah modus operandi yang dilakukan seorang lelaki berusia 35 tahun yang sudah beberapa kali melakukan penipuan itu terhadap imam dan ustaz.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan seorang daripada mangsa yang terlibat.

“Mangsa yang juga seorang imam di Masjid Seksyen 4 Kota Damansara pada mulanya telah terserempak dengan suspek kira-kira pukul 5.54 petang pada 1 Februari lalu.

“Suspe kemudian mengaku yang dia telah memeluk agama Islam bertujuan untuk meminjam wang bagi menyelesaikan masalah kad kreditnya yang telah disekat oleh bank.

Mangsa dengan niat nak membantu telah menyerahkan RM450 kepada suspek yang kemudian telah pergi ke Terengganu untuk membuat urus niaga di bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, ketika tiba di Terengganu, suspek telah meminta wang tambahan bagi urusan mengaktifkan kad kreditnya sebelum mangsa memasukkan wang berjumlah RM650.

Jelasnya, mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu selepas nombor telefonnya telah disekat oleh suspek.

“Mangsa juga kemudian mengetahui yang kejadian sama telah tular di laman sosial dan suspek memang mensasarkan penipuannya terhadap imam dan ustaz di Selangor.

“Bagaimanapun, mangsa telah bertemu dengan suspek pada semalam di perkarangan surau Mutiara Damansara dan dipercayai ingin melakukan jenayah sama,” katanya.

Mangsa bersama seorang rakannya telah menahan suspek sebelum dibawa ke balai polis.

Tambah Nik Ezanee, suspek didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau dan kini telah ditahan reman bagi disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -SM

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button