Bola SepakSukan

Kewujudan kluster baharu COVID-19 tidak jejas Liga-M bermula 26 Ogos

SAINGAN bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) tetap akan disambung semula seperti dijadual 26 Ogos ini, meskipun wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di dalam negara baru-baru ini, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Beliau berkata kewujudan kluster itu tidak menjadi halangan memandangkan setiap pemain yang beraksi dalam liga tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19.

“Pemain serta pasukan yang dibenarkan bermain (Liga-M) telah menjalani proses ini (saringan COVID-19). Kita tidak benarkan pasukan luar yang tidak menjalani ujian saringan untuk bermain termasuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Prosedur operasi standard (SOP) pertandingan dan permainan sudah ada dan ia memadai. Setakat ini tiada lagi kes melibatkan pemain atau pasukan selepas ujian saringan dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kali ke-62 di sini, hari ini.

Pada 17 Julai lepas, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Liga-M yang tertangguh sejak Mac lepas akibat penularan wabak COVID-19, akan disambung semula pada 26 Ogos dan dijangka berakhir pada 23 Sept dengan dua aksi tertunda akan berlangsung 22 Ogos ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan mengesan dua lagi kluster baharu iaitu Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga di Kedah dan Kluster Satok di Sarawak.

Ditanya berhubung krisis kewangan yang dihadapi beberapa persatuan bola sepak tempatan pada masa ini, Mohd Yusoff mengesahkan perkara itu, namun keadaan tersebut masih terkawal.

“Saya percaya Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) akan mengambil langkah sesuai bagi membantu persatuan yang terkesan untuk memastikan kelangsungan liga kerana kita tidak mahu ada pasukan terkubur disebabkan masalah ini.

“Saya berharap semua pihak termasuk pemain dapat bertolak ansur dalam menangani krisis tersebut untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAFA Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di dalam ucapannya berkata walaupun persatuan berkenaan tidak terlepas daripada terkena tempias COVID-19, mereka berjaya mengekalkan kesemua pegawai dan pemain tanpa perlu membatalkan kontrak atau membuat pemotongan gaji.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penasihat Khas Menteri Besar Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

— BERNAMA

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button