PIHAK pembelaan menegaskan tiada sebarang bukti menunjukkan Samirah Muzaffar dan dua remaja membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, lima tahun lalu.
Peguam bela Samirah dan dua remaja terbabit, Rahmat Mohamed Hazlan berkata, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa pihak pendakwaan yang bergantung kepada teori orang terakhir bersama Nazrin adalah andaian semata-mata yang tidak dapat dibuktikan.
“Teori pendakwaan adalah tertuduh (anak guam) adalah orang terakhir yang dilihat dengan Nazrin. Tanggungjawab kemudian beralih kepada mereka (pendakwaan) untuk memberi penjelasan bagi membuktikan bahawa tertuduh bertanggungjawab terhadap pelakuan jenayah yang didakwa terhadap mereka.
“Pembelaan konsisten terhadap apa yang berlaku pada 14 Jun 2018 (Nazrin ditemui maut dalam kebakaran),” katanya di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, hari ini.
Rahmat berhujah susulan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Samirah serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh CEO syarikat terbabit.
Ketiga-tiga individu itu dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.
Rahmat berkata, penjelasan Samirah mengenai kali terakhir melihat Nazrin adalah konsisten.
“Dalam kenyataan pertama bertarikh 17 Jun 2018, Samirah menyatakan ketika berada di rumah, jirannya datang untuk memaklumkan bahawa asap keluar dari tingkap bilik tidur di tingkat atas rumahnya.
“Samirah kemudian berlari ke tingkat atas dan cuba membuka pintu bilik tetapi tidak berjaya. Susulan itu, anak guam meminta bantuan daripada pengawal keselamatan kawasan perumahan,” katanya.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dilaporkan berkata, rakan baik Nazrin, Eliza Elias, diberitahu mengenai masalah perkahwinan pasangan itu dan hasrat CEO syarikat berkenaan untuk menceraikan Samirah.
Selain itu, Eliza dan pembantu peribadi Nazrin, Nurul Anisah Abdullah didakwa ada memberitahu mahkamah bahawa prestasi kerja Nazrin mula merosot selepas mendirikan rumah tangga bersama Samirah.
Bagaimanapun, seorang lagi peguam bela ketiga-tiga individu berkenaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dipetik menyifatkan isu perceraian dibangkitkan pendakwaan tidak jelas.
Ia kerana ada keterangan kakak arwah Che Elainee Che Hassan, pemandu arwah, Ahmad Edree Abdul Rashid, Nurul Anisah dan Eliza mengenai hubungan baik arwah dengan Samirah.
Pada 21 Jun 2022, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskan Samirah, 48, dan remaja berusia 18 dan 21 tahun itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Pada 14 Februari tahun sama, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.
Prosiding rayuan bersambung 19 September ini. – SINAR HARIAN – SM
BACA Samirah, dua remaja lelaki bebas tuduhan membunuh CEO Cradle Fund
BACA Inkues kematian CEO Cradle Fund tak dapat dipertahankan