MahkamahNasional

Inkues kematian CEO Cradle Fund tak dapat dipertahankan

INKUES untuk menentukan punca kematian bekas ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan empat tahun lalu tidak dapat dipertahankan kerana perbicaraan kes jenayah berkait dengannya telah selesai, kata seorang peguam.

SN Nair berkata, pendakwa raya telah mengemukakan tuduhannya manakala Mahkamah Tinggi juga sudah mencapai keputusan.

“Mahkamah telah meneliti keterangan, maka inkues tidak dapat dipertahankan malah tidak terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan abang Nazrin, Dr Abdul Aziz kepada pemberita kelmarin bahawa keluarganya berharap pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes itu.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, kami akan meminta inkues bagi menentukan punca kematian,” kata Abdul Aziz.


Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja daripada tuduhan membunuh suaminya, Nazrin atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Samirah, 47, dua remaja itu yang kini berusia 19 dan 16 tahun serta pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

Pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan termasuk Abdul Aziz serta dua pakar patologi Dr Siew Sheue Fong dan Dr Prashant Sanberker yang menjalankan dua bedah siasat berasingan ke atas mayat Nazrin.

Nair berkata, inkues dijalankan apabila polis tidak dapat menentukan punca kematian ketika mayat ditemui.

“Abangnya membuat kenyataan sedemikian kepada media disebabkan salah faham mengenai proses perundangan,” katanya.

Pihak pendakwaan mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan terhadap keputusan hakim perbicaraan ke Mahkamah Rayuan. – FMT – SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button