NasionalRencah Hidup

‘Kepercayaan kepada Tuhan’ mampu wujudkan perpaduan

SETIAP prinsip terkandung dalam Rukun Negara mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang harus difahami dan dihayati untuk membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jika setiap rakyat negara ini mempunyai iltizam dalam mempraktikkan konsep yang terdapat dalam falsafah itu, pastinya matlamat Malaysia untuk terus menjadi sebuah negara yang harmoni, berdaya saing dan gemilang akan tercapai pada masa hadapan.

Bagi aktivis masyarakat Kuan Chee Heng, sekiranya rakyat benar-benar faham, menghayati dan mengamalkan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, ia sudah cukup untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur.

Kuan, 57, atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ berkata jika rakyat yakin dengan apa dijanjikan Tuhan sepertimana diterapkan dalam prinsip pertama Rukun Negara, sudah tentu mereka tidak akan berbuat jahat kerana sikap sedemikian hanya memberi kesan buruk kepada diri dan masyarakat.

“Semua penganut agama diajar ke arah kebaikan. Jika kita sentiasa amalkan ajaran agama, tiada yang buat jahat, dan tidak ada hasad dengki malah saling bertoleransi, Malaysia akan jadi negara aman. Rukun Negara sendiri meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan paling utama kerana ia sangat menyeluruh,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Bila kita percaya kepada Tuhan, kita akan jadi orang yang baik kerana Tuhan tidak suruh kita buat jahat. Bila kita baik, kita jadi masyarakat baik,” katanya yang sering terlibat dengan aktiviti kebajikan tanpa mengira kaum mahupun agama.

Prinsip Rukun Negara, katanya diasaskan selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, dibentuk dalam acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan masih berpegang dengan budaya Timur.

Tidak menafikan situasi semasa sering berubah seiring kemajuan teknologi ditambah pula dengan penggunaan meluas media sosial, Kuan berkata senario berkenaan telah menyebabkan isu sensitif seperti soal kaum dan agama mudah ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Meskipun sentimen kaum kadang kala sering dimomokkan pihak tertentu, beliau percaya jika masyarakat Malaysia berpaksikan pada prinsip Rukun Negara, tahap perpaduan rakyat Malaysia tetap utuh dan tidak mudah melatah.

“Kita boleh lihat perpaduan rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, semua kaum masing-masing bantu sesiapa yang dalam kesusahan kerana kurangnya orang mengapi-apikan isu perpaduan.

“Daripada prinsip pertama hingga kelima, kita boleh lihat betapa rapinya susunan Rukun Negara. Ia sepatutnya bukan sekadar dihafal semasa perhimpunan di sekolah tapi harus diterapkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Memetik hadis, ‘Tidak sempurna iman, jika kau tidur dalam kekenyangan sedangkan jiran tetanggamu menangis kerana kelaparan’ sebagai pegangan, Kuan berkata pengajaran daripada hadis itu memberinya motivasi untuk terus membantu masyarakat yang kesusahan tanpa mengira bangsa mahupun agama. – BERNAMA

(Visited 12,883 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button