Nasional

Kemuka cadangan lain jika bantah Darurat

AHLI Parlimen yang membantah penguatkuasaan Proklamasi Darurat diminta mengemukakan cadangan lain untuk menggantikan perintah tersebut.

Ini kerana, Perintah Darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bukan sahaja bertujuan menangani krisis kesihatan.

Malah, proklamasi tersebut juga dilihat dapat merungkaikan kekeliruan rakyat terhadap isu politik yang melanda negara ketika pandemik Koronavirus (Covid-19) masih lagi ‘mengganas’.

Antara perkara yang tidak diingini rakyat ketika ini adalah pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika kes harian baharu Covid-19 masih lagi tinggi.

Perkara itu dipandang rakyat susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dikatakan menjadi punca tercetusnya gelombang ketiga pandemik.

Oleh demikian, sekiranya Proklamasi Darurat ditarik balik, Ahli Parlimen diminta memberi jaminan untuk tidak membangkitkan isu PRU ketika Covid-19 belum reda.

“Kita juga mahu tahu apakah alternatif kepada pengisytiharaan darurat, jika mereka membantah.

“Apakah jaminan agar pilihanraya tidak terpaksa diadakan sewaktu penularan kes Covid-19 sedang tinggi ini?

“Mengapakah tidak dituntut sahaja agar janji pilihanraya benar-benar akan dilakukan sebaik sahaja kes Covid-19 reda sahaja?

“Sebenarnya kita ternanti-nanti juga satu cadangan yang konklusif dari mereka yang membantah darurat ini kerana terlalu banyak spekulasi yang akhirnya mengelirukan rakyat sahaja.”

Kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, dalam satu kenyataan hari ini mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan Anwar menggesa semua Ahli Parlimen mengutus surat kepada Agong bagi membatalkan semula Proklamasi Darurat yang sedang dikuatkuasakan.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mendakwa Proklamasi Darurat yang dimaklum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh demikian, Aminuddin juga mahu rakyat melihat Ahli Parlimen yang membantah Perintah Darurat ini dan menilai adakah mereka bersungguh-sungguh membantah.

Dalam masa sama, jika surat itu akhirnya diutus kepada Agong, beliau juga mahu rakyat melihat berapa ramai Ahli Parlimen yang mengutus surat dan adakah mereka menghantarnya secara sorok-sorok.

“Oleh itu, saya menggesa juga agar setiap ahli parlimen yang mengutus surat bantahan darurat kepada Agong itu nanti untuk berani mengisytiharkan bahawa mereka telah mengutus surat tersebut, jangan ada yang berselindung atau hantar ‘sorok-sorok’.

“Jika ini yang anda percaya dan perjuangkan, maka tidak perlu malu dan akhirnya, kita mahu tahu ‘once and for all‘ berapakah jumlah ahli parlimen yang benar-benar membantah itu,” soalnya. – SM

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button