Kematian akibat Covid-19 di Perancis cecah 14,400
KES Covid-19 di Perancis menurun dalam tempoh 24 jam lalu dengan jumlah kematian kini 14,393 orang.
Untuk tempoh 24 jam semalam sebanyak 315 kematian dicatatkan di hospital, menurun sedikit berbanding 345 orang sehari sebelumnya.
Jumlah kes baru juga menurun pada Ahad termasuk jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) menurun untuk tempoh empat hari berturut-turut.
Jumlah jangkitan bertambah lagi 2,937 kes menjadikan 132,691 kes keseluruhan, kenaikan paling kecil dalam sehari sejak 5 April seperti yang dipetik dari Bloomberg
Kementerian Kesihatannya dalam satu kenyataan memberitahu langkah kawalan pergerakan telah menunjukkan hasil.
Perancis merupakan negara ketiga paling teruk terkena wabak itu di Eropah selepas Itali dan Sepanyol, yang mana jumlah kes baru di kedua-dua negara itu turut menurun.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijadualkan akan berucap ke seluruh negara hari ini dan mungkin akan mengumumkan lanjutan kawalan pergerakan sehingga sekurang-kurangnya pertengahan Mei.
Jumlah pesakit di ICU menurun kepada 6,845 iaitu yang paling rendah sejak 4 April lalu. Ia menurun buat kali pertama pada Khamis.
Pda 16 Mac lalu kerajaan Perancis mengumumkan pelaksanaan kawalan pergerakan dan seterusnya berada di bawah perintah berkurung sepenuhnya selama 15 hari hingga hujung Mac dan kemudiannya dilanjutkan lagi 15 hari.
Ekoran itu semua institusi awam, restoran, hotel, pusat membeli-belah kecuali supermarket dan farmasi ditutup.
Syarikat-syarikat digalakkan supaya pekerja mereka bekerja dari rumah dan hanya sektor yang dikategorikan sebagai penting dibenarkan beroperasi.