Bola SepakSukan

Kelab tercorot leburkan rekod tanpa kalah Liverpool

CIRI-CIRI untuk Liverpool muncul juara LIga Perdana Inggeris pada musim ini memang tidak dapat dinafikan. Tetapi untuk mencapainya dengan rekod tanpa kalah kini sudah lebur.

Tidak perlu pasukan besar dalam kelompok enam teratas untuk leburkan rekod itu. Sebaliknya hanya pasukan tercorot yang berhadapan dengan risiko tersingkir daripada pada musim depan.

Jaringan 3-0 turut menimbulkan tanda tanya apa yang tidak kena dengan LIverpool.

Yang pasti anak buah Jurgen Klopp telah tewas dalam perlawanan EPL, kali terakhir mereka merasainya adalah 423 hari yang lalu.

Kekalahan yang menimbulkan tanda tanya apa yang sebenarnya telah berlaku?

Adakah pasukan yang telah memenangi 18 perlawanan liga terakhir mereka dan mendahului liga dengan kelebihan 22 mata sudah kehabisan idea, tidak mampu memberi saingan dan mudah diatasi lawan yang terpaksa bertarung daripada tersingkir?

Itulah realiti, LIverpool kena belasah. daripada minit pertama hingga terakhir, Watford enggan menunjukkan ciri-ciri mengalah terhadap lawan yang lebih hebat, sebaliknya menampilkan semangat kebersamaan, agresif dan potensi mereka.

Mereka menjaring tiga gol, malah mungkin banyak lagi yang mana ia bakal menjadi perbualan berbulan-bulan malah mungkin bertahun selepas ini.

Ini merupakan kemenangan terhebat untuk diraikan oleh para penyokong Watford, kemenangan yang juga dapat mengeluarkan pasukan mereka daripada kedudukan tiga terbawah hasil perbezaan gol dan memberikan harapan baharu mereka boleh elak daripada penyingkiran.

Tidak dapat dinafikan itu merupakan persembahan terbaik mereka. Ismaila Sarr yang tidak dapat beraksi sejak 18 Januari lalu kerana kecederaan paha menampilkan permainan yang sensasi, menjaringkan dua gol pertama Watford, membantu Troy Deeny untuk gol ketiga dan secara keseluruhannya merobekkan ketahanan Liverpool melalui larian-lariannya.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai Watford dari Rennes dengan nilai 25 juta pound, mendapat tepukan penghargaan daripada penyokong tuan rumah ketika dikeluarkan pada minit 82 termasuk pujian daripada pengurusnya.

“Dia memang pemain yang bagus,” kata Pengurus Watford, Nigel Pearson.

Pemain Watford yang turut mencuri tumpuan ialah Will Hughes dan Abdoulaye Doucouré di bahagian tengah dan Gerard Deulofeu sehingga dia terpaksa diganti pada minit 37 kerana terpelecok lutut ketika mengasak Virgil van Dijk.

Liverpool pula ketara lemah, bermain dengan kurang keyakinan di bahagian serangan, dan cara pertahanan mereka bermain mengejutkan.

Pemilihan Dejan Lovren di pertahanan berbanding Joel Matip bagi menggantikan Joe Gomez yang cedera seperti menunggu kemalangan berlaku berdasarkan bagaimana dia membiarkan Adam Mesina melakukan lontaran melepasi kepalanya yang membuka ruang kepada jaringan pembukaan Watford pada minit 54.

Pemain asal Croatia itu membenarkan dirinya dipedaya oleh Deeney dan ia menyebabkan Liverpool dihukum oleh Doucouré yang berjaya merampas bola dan menjoloknya kepada Sarr untuk menewaskan Alisson.

Gol ketiga Watford juga berpunca daripada kesilapan pertahanan Liverpool apabila Sarr bijak menghidu hantaran ke belakang yang lemah oleh Trent Alexander-Arnold membuka ruang kepada Deeney untuk menggegarkan jaring.

Melalui jaringan itu tuan rumah yakin mereka merangkul tiga mata selepas mendahului 2-0 setelah sejam permainan di mana Sarr mengutip hantaran Deeney, melakukan larian kencang ke arah gol dan mencuit bola melepasi Alisson yang meluru keluar.

Pemain Senegal itu menunjukkan permainan yang menarik yang nyaris melakukan hatrick selepas mensia-siakan peluang mudah sebelum dia dikeluarkan.

Liverpool seolah-olah seperti langsung tidak mampu mengancam kubu lawan. Satu-satunya cubaan terbaik ialah apabila Adam Lallana melakukan tendangan jauh dan terkena palang gol. Satu-satu cubaan ke sasaran pula ialah oleh Andy Robertson pada separuh masa kedua tetapi mudah diselamatkan Ben Foster.

Ketika tidak ada siapa boleh menafikan Liverpool akan memenangi kejuaraan liga dalam tempoh 30 tahun – mereka hanya memerlukan 12 mata lagi daripada baki 10 perlawanan – rekod 19 kemenangan berturut-turut tidak dapat dipecahkan, tidak ada peluang untuk mengharungi keseluruhan kempen musim ini tanpa kalah, rekod yang akan terus dipegang oleh pasukan dari utara London.

Kelas Arsenal 2004 tidak mampu diatasi oleh kelas Liverpool 2020 ekoran kekalahan mengejut di tangan Watford.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button