fbpx
Nasional

Kebenaran Solat berjemaah di masjid, surau di Sabah bermula 22 Mei

MAJLIS Fatwa Negeri Sabah telah mengambil ketetapan untuk membenarkan aktiviti solat berjemaah termasuk terawih dan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih bermula Jumaat ini.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar bagaimanapun berkata kebenaran itu hanya diberikan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sahaja dan tidak melebihi empat jemaah.

Beliau berkata bagi solat terawih, lebih digalakkan didirikan lapan rakaat dan selebihnya dilaksanakan di rumah  manakala solat Jumaat bilangan ahli jemaah tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih daripada 12 jemaah termasuk imam dan khatib.

“Bagaimanapun, kebenaran ini tidak melibatkan solat sunat Aidilfitri. Oleh itu, semua jemaah dinasihatkan supaya mengadakan solat sunat itu di rumah.

“Takbir hari raya hanya dibenarkan pada malam raya sahaja dengan bilangan jemaah empat orang dalam kalangan AJK masjid atau surau,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.


Bungsu Aziz berkata AJK masjid dan surau yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir berjemaah.

Beliau berkata setiap jemaah perlu membuat pengesanan suhu badan, memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman, merekodkan kehadiran dan perlu ada penjarakan sosial antara jemaah.

Dalam pada itu kerajaan menegaskan walaupun solat berjemaah di masjid dan surau dibenarkan, namun solat di luar masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan,

Malah, mana-mana individu yang namanya tidak tersenarai, dilarang untuk hadir atau menunaikan solat termasuk di luar masjid.

Itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Ia perlu dipatuhi termasuk tidak boleh di luar masjid, sepanjang pelaksanaan PKPB.

“Kita telah bersetuju setiap kali solat Jumaat dan sebagainya, pihak polis dan RELA akan berkawal,

“Ini, bagi mengawasi pematuhan SOP di masjid dan surau yang dibenarkan, untuk laksanakan solat berjemaah,” katanya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurut beiau, terdapat laporan ada individu yang tidak berada dalam senarai 30 jemaah datang menunaikan solat di luar masjid.

Ismail Sabri juga memberitahu, hampir smeua 25 masjid dan 30 surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, mematuhi SOP ketika menunaikan sembahyang Jumaat baru-baru ini. – – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button