Nasional

Kanak-kanak berusia 4 tahun maut dipercayai akibat didera

SEORANG kanak-kanak berusia 4 tahun maut dipercayai akibat didera di sebuah pangsapuri di Semenyih, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan berkenaan kes berkenaan diterima kira-kira pukul 1.20 petang semalam yang dibuat oleh petugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kajang.

“Menurut pengadu, mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya sendiri.

“Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, kejadian dera itu disyaki di lakukan di rumah mangsa dan kematian itu juga dipercayai akibat dipukul oleh teman lelaki ibunya.


Susulan itu, ujarnya, tangkapan melibatkan ibu mangsa yang berusia 31 tahun dan kekasihnya yang berusia 28 tahun.

“Lelaki itu bekerja sebagai penarik kereta dan kedua-dua tangkapan itu dilakukan kira-kira pukul 5.45 petang semalam.

“Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Mohd Faizal Amir di talian 011-33319871. -SM

(Visited 141 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button