Nasional

JKKN anjur Festival Permainan Malaysia, angkat kembali permainan tradisional

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur Online 2021 (FPM 2021) sebagai usaha untuk angkat kemali permainan tradisional Malaysia daripada pupus ditelan zaman.

JKKN dalam kenyataannya berkata, program tahunan yang telah dilaksanakan sebanyak 5 kali penganjurannya namun terhenti seketika pada tahun 2020 kembali memeriahkan industri seni dan budaya tempatan dengan himpunan kekayaan dan keunikan seni permainan tradisional di Malaysia melalui saluran media sosial JKKN TV.

“FPM 2021 berusaha untuk menanamkan minat serta mengangkat kembali permainan tradisional Malaysia supaya tidak pupus dan ditelan zaman dan secara langsung menjaga nilai seni warisan negara untuk generasi muda.

“Sebanyak 20 jenis permainan tradisional pelbagai kaum akan disiarkan menerusi FPM 2021 antaranyapermainan Congkak, Batu Seremban, Tuju Selipar,Teng-teng, Lompat Getah dan Pukul Berapa Datuk Harimau.

“Selain itu terdapat juga beberapa pertandingan seperti pertandingan Seni Mempertahankan Diri (Silat, Wushu dan Silambam), Cabaran Jom Viral Permainan Tradsional dan Cabaran Tari Teng-teng,” katanya.

Menurut JKKN, bagi pengisian program ilmiah pula, akan disiarkan demonstrasi permainan gasing dan tidak ketinggalan bual bicara permainan Kabaddi serta Chek Riej Nuej dari Orang Asal (Orang Asli Gombak).

Jelasnya, demonstrasi permainan tradisional Sabah iaitu Rampanau, permainan tradisional Sarawak Batak Lampung juga turut dipaparkan sepanjang siaran FPM 2021.

“Penonton berpeluang menyaksikan hiburan persembahan oleh artis tanahair Azlan & The Typewriter dan Busker Kumpulan Sentuhan Aizad,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan perasmiannya berkata, jikalau dahulu permainan tradisional sering kita lihat secara harian, tetapi kini permainan tradisional semakin lama, semakin dilupai oleh generasi muda khasnya dan sukar untuk kita melihat permainan tradisional di kampung apatah lagi di kawasan bandar.

“Melihat kepada keadaan ini, maka antara insiatif JKKN selaku agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya yang bertanggungjawab untuk melestari dan menyemarakkan aktiviti seni budaya, adalah dengan meneruskan pelaksanaan penganjuran Festival pada tahun ini secara maya dan bersiaran di JKKN TV.

“Festival permainan ini dapat mengimbau kembali permainan tradisional yang ada di Malaysia serta secara tidak langsung dapat mengukuhkan hubungan dan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia. Inilah keunikan permainan di Malaysia, dapat menyatukan kita semua menjadi sebuah Keluarga Malaysia sebagaimana saranan Perdana Menteri,” katanya. -SM

(Visited 2,579 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button